fbpx
Mujahid dan Takiyuddin

Mujahid setuju tarik balik saman terhadap Takiyuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bersetuju menarik balik saman ke atas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Saman yang difailkan Mujahid itu berhubung dakwaan sokongan terhadap budaya songsang, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Pas pada Oktober 2022.

Langkah menarik balik saman tersebut dibuat selepas Takiyuddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Mujahid pada prosiding di mahkamah.

Menerusi kenyataan bersama kedua-dua pemimpin itu, mereka sepakat untuk menghentikan pertikaian selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk kos perundangan yang ditanggung.

“Pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan/atau penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.

“Justeru, Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof dan YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan telah mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian mereka dalam prosiding tersebut,”kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan bersama itu, Mujahid bersetuju menarik balik tindakan guaman itu tanpa kebebasan memfailkan semula, dan tanpa apa-apa perintah berkenaan kos.

“Kedua-dua pihak berharap agar penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia,”ujar kenyataan itu.

Terdahulu, pada 15 Disember 2022, Mujahid selaku Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Pas dengan niat jahat telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya.

Perbuatan itu dilakukan melalui satu kenyataan berunsur fitnah di ruangan status akaun Facebook parti itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN