PETALING JAYA – Dihalau ketika sedang bercuti di luar negara, bekas isteri penyanyi Nubhan, Dr. Fie terpakasa akan tinggal sementara waktu di kediaman ibu bapanya sebelum mencari rumah sewa baharu untuk didiami bersama tiga orang anak.
Dr. Fie atau nama sebenarnya Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, berkata urusan rumah kediaman lama yang sebelum ini menjadi rumah kelamin mereka akan dibincangkan bersama peguam, sekembali ke tanah air esok selepas Nubhan tidak membalas panggilan mahupun sebarang mesej daripada keluarganya.
“Saya buntu. Saya sedang bercuti dengan anak-anak, cuma akan kembali ke Kuala Lumpur esok. Tapi ada ahli keluarga saya hubungi Nubhan bertanyakan tindakannya mengeluarkan barangan milik saya, langsung tiada respons.
“Sepanjang proses perceraian tempoh hari dia tak minta pun kepada peguam saya soal kosongkan rumah. Alih-alih dia bertindak melulu dengan memanggil mover (syarikat perpindahan) waktu saya tiada di rumah. Permainan apakah ini?
“Dia seronok tengok kami merempatkah? Tidak mengapalah jika itu yang mampu memuaskan hatinya. Apa pun saya serahkan kepada peguam untuk uruskan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia tidak menyedari sebarang tanda bahawa lelaki yang pernah bergelar suaminya selama 10 tahun tergamak berbuat sedemikian.
“Entahlah, sebelum bawa anak-anak bercuti ke Vietnam saya ada maklumkan kepadanya. Dia okey sahaja. Tak tahu pula selepas itu dia rancang sesuatu yang mengejutkan.
“Sudah-sudahlah, benda boleh bincang. Tapi dia ambil jalan ‘keras’ seperti tidak pernah ada sekelumit kebaikan pernah saya bawa dalam keluarga kami.
‘Dia bangunkan rumah itu, tetapi hampir kesemua benda dalam rumah termasuk barangan di dapur serta baju anak saya yang sediakan. Jangan selepas ini pula kata saya suka mengungkit,” ujarnya yang berlepas ke Vietnam bercuti bersama anak-anak sejak minggu lalu.
Menurutnya lagi, sehingga kini dia tidak mengetahui keberadaan barang kemas hasil titik peluhnya sendiri serta wang tunai yang disimpan di rumah tersebut.
Terdahulu, sejak semalam laman sosial kecoh dengan tindakan Nubhan menghantar barangan milik bekas isteri ke rumah mentuanya ketika Dr. Fie bersama anak serta ibu bapanya bercuti di Vietnam.
Menerusi foto serta video dikongsikan wanita terbabit di Threads, kelihatan barangan peribadi termasuk haiwan peliharaan anak mereka, hamster dilonggokkan di depan rumah ibu bapa dalam keadaan tidak terurus.
Dr.Fie juga tidak menyangka bekas suaminya bertindak sedemikian tanpa menunggu proses pembahagian harta sepencarian diputuskan.
Lebih meruntun perasaan apabila dia turut menyatakan perbuatan Nubhan menghantar pakaiannya ke rumah keluarga juga bukan yang pertama kali memandangkan perkara sama sudah pernah berlaku ketika awal perkahwinan mereka.
Menerusi laman sosial, rata-rata netizen turut bersimpati dan naik berang dengan pendedahan Dr. Fie yang terkilan diperlakukan sedemikian rupa, masing-masing turut menyifatkan tindakan peserta Gegar Vaganza 12 itu sebagai pengecut.
Terdahulu, Dr. Fie dan Nubhan yang bercerai talak dua pada awal bulan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille, 3. – KOSMO! ONLINE














