Isu desakan pengiktirafan Unified Examination Certificate atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah perkara baharu dalam landskap pendidikan di Malaysia.
Ia kembali mencetuskan perdebatan apabila dibangkitkan semula oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming baru-baru ini.
Timbul persoalan sama ada pengiktirafan UEC ini benar-benar keperluan atau untuk memenuhi kehendak kelompok tertentu.
Bagaimanapun, banyak pihak berasa lega dengan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan tuntutan untuk mengiktiraf UEC baru-baru ini.
Anwar berkata, sebarang tuntutan termasuk pengiktirafan UEC yang hanya menjurus kepada satu kaum atau bahasa berpotensi menimbulkan ketegangan dan menggugat keharmonian masyarakat.
Pendirian tegas ini dibuat untuk mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Dasar Pendidikan Kebangsaan bertujuan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa dan kurikulum bagi memastikan semua pelajar berbilang kaum dan etnik mendapat akses kepada pendidikan.
Pengerusi Pertubuhan Pensyarah Cemerlang IPG yang juga Pensyarah Cemerlang Gred Khas C (Bahasa Melayu), Norani Abd Rahim berkata, UEC sewajarnya tidak diiktiraf kerana ternyata bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, kedudukan Bahasa Melayu dan agenda perpaduan nasional.
“Penolakan ini bukan isu diskriminasi terhadap mana-mana aliran, tetapi berkait tanggungjawab negara memelihara prinsip Perlembagaan dan struktur sistem pendidikan kebangsaan yang telah digariskan melalui Akta Pendidikan 1996.
“UEC merupakan peperiksaan yang dikendalikan oleh pihak luar kerajaan dan menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar serta mempunyai kurikulum sendiri.
“Sebagai ahli akademik, saya berpendapat menentang UEC adalah berdasarkan hujah ilmiah dan bukannya retorik politik,” katanya.
Jelasnya, penolakan pengiktirafan UEC tidak harus ditafsirkan sebagai penafian hak mana-mana pihak, sebaliknya, ia harus ditafsirkan sebagai gesaan supaya semua aliran pendidikan menghormati hierarki normatif negara.
“Jika UEC diiktiraf sebagai kelayakan masuk ke universiti awam, implikasinya akan menyentuh struktur akses, bahasa, identiti nasional serta reka bentuk sistem pendidikan tinggi secara keseluruhan.
“Implikasi ini boleh bersifat positif dari segi perluasan bakat, namun pada masa sama ia boleh menimbulkan risiko dasar yang besar terhadap keseragaman sistem, kedudukan Bahasa Melayu dan prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK),” jelas beliau.
Pengiktirafan UEC akan membuka satu lagi pintu rasmi kemasukan ke IPTA di samping SPM, STPM, matrikulasi dan lain-lain, sekali gus mengubah ekologi persaingan tempat di universiti awam.
“UEC, sebagai sijil swasta yang menggunakan kurikulum sendiri dan bukan berteraskan kurikulum kebangsaan, secara prinsip tidak menepati kerangka yang digubal melalui Akta 550,” katanya.














