PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil seorang bekas menteri bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah wang RM5 juta dan kenderaan mewah melibatkan projek papan iklan dan pemindahan tanah.
Menurut sumber, berdasarkan maklumat yang diterima, bekas Menteri itu menerima wang tersebut daripada sebuah syarikat pemaju, manakala supercar jenis Lamborghini pula diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.
“Bekas Menteri berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi dirakam keterangan. Siasatan sedang di peringkat untuk mengesan punca pembayaran kereta mewah tersebut.
“Bagi kes tanah pula, siasatan awal mendapati tanah-tanah yang sebelum ini digazetkan untuk pembinaan surau telah dipindah milik kepada satu syarikat proksi,” katanya.
Menurut sumber itu, seramai 16 saksi terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemilik syarikat dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kedua-dua kes tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan berhubung kes penerimaan rasuah melibatkan bekas menteri tersebut dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Buat masa ini tiada sebarang sitaan aset atau pembekuan akaun dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














