BERPELUANG mengikuti bengkel telepuk pada tahun 2017 lalu merupakan detik yang amat diidamkan Mohd. Azwarin Ahmed, 40, memandangkan kesenian pembuatan fabrik tradisional itu hampir pupus dan tidak lagi diusahakan pada zaman ini.
Akuinya, sebelum itu sangat sukar mencari orang yang pakar dalam pembuatan telepuk sehingga dia hampir berputus asa serta melupakan hasrat mempelajari pembuatan kain tersebut.
Sehinggalah dia dipertemukan dengan Prof. Adjung Norhaiza Noordin yang merupakan seorang penggiat seni tradisional pada tahun 2017 yang mengajar seni telepuk kepadanya.
Telepuk merupakan seni tradisional menghias kain yang dipercayai dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Bugis dari Sulawesi, Indonesia.
Di Nusantara, seni ini dikenali sebagai telepuk dan dikatakan fabrik terawal dihasilkan di Tanah Melayu.
Kesenian telepuk turut terkenal di negara-negara lain seperti China, India dan Jepun, tetapi di sana lebih dikenali sebagai hiasan emas pada fabrik atau kain prada.

Seni ini melibatkan proses menekap motif menggunakan cop atau cap ukiran kayu yang bergam ke atas pelbagai fabrik seperti kain tenung benang halus, songket, kain pelangi serta limar sebelum dilekatkan kertas emas di atasnya.
Gam arab diletakkan pada lengan dan cap yang telah direndam dalam air akan ditekan di lengan kemudian ditekap ke atas kain. Begitulah keunikan pembuatannya.
Proses menelepuk di Semenanjung kebiasaannya dibuat di atas kain yang telah digerus iaitu satu teknik mengilatkan kain menggunakan siput gerus.
Menurut sejarah, seni tata hias emas itu dimiliki dan dipelihara oleh pihak istana serta pemakaiannya dikhaskan untuk keluarga diraja sahaja.
Selain dijadikan busana persalinan untuk majlis rasmi di istana dan busana istiadat perkahwinan, telepuk juga digunakan untuk menghasilkan pelbagai aksesori seperti tanjak, samping, selendang, kain ikat pinggang dan sapu tangan.
Menurut Mohd. Azwarin, dia mula mengenali mengenai seni telepuk ketika belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2005.
“Saya menjadikan telepuk sebagai projek tahun akhir ketika belajar dan sejak itu telah jatuh cinta dengan keindahan seni fabrik warisan Melayu ini.
“Oleh itu, saya berasa sangat teruja apabila berpeluang mempelajari kesenian telepuk daripada adiguru Norhaiza kerana sudah lama memendam hasrat ini,” cerita pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Tekstil) itu.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu mengikuti bengkel telepuk selama dua hari yang diajar lengkap dengan cara mengukir cap atau sarang sehinggalah proses menelepuk kain.
Hasil pembelajaran di bengkel itu, Mohd. Azwarin kini telah mengusahakan produk telepuk dan mengkomersialkannya dalam skala kecil.
Antara produk telepuk yang dihasilkannya ialah kain sarung, tanjak dan barangan cenderamata.
“Tidak ramai peserta dari bengkel tersebut yang aktif menghasilkann telepuk dan mengkomersialkannya kerana kesukaran mendapatkan bahan seperti kertas emas.
“Kebetulan saya mempunyai rakan di Thailand yang membekalkan kertas emas itu kerana tidak dijual di Malaysia,” ujarnya.
Terangnya, masyarakat Thailand juga mempraktikkan kesenian hiasan emas pada fabrik dan seni itu sangat dijaga di negara itu sehingga peserta yang ingin mengikuti bengkel kesenian akan disaring terlebih dahulu.
Hanya orang Siam dibenarkan menyertainya dan tidak terbuka kepada warganya yang beragama Islam.
Sementara itu, Norhaiza memberitahu, pada tahun 2014, beliau telah diminta oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) untuk menghasilkan ukiran sarang telepuk.

Bermula dari situ, beliau telah memulakan kajian mendalam mengenai telepuk di beberapa muzium termasuk Muzium Negara, Muzium Tekstil dan Muzium Negeri Terengganu.
“Bidang kepakaran saya ialah ukiran halus kayu dan pihak PADAT telah meminta bantuan untuk menghasilkan sarang atau cap telepuk.
“Sejak itu saya mengetahui mengenai telepuk dan membuat pembacaan serta menggali semula ilmu tentang telepuk yang kini hampir pupus kerana tiada generasi penyambung,” tuturnya yang merupakan Adiguru Kraf Ukiran Halus.
Sehubungan itu, beliau berasa bertanggungjawab untuk menghidupkan kembali seni telepuk dan diteruskan oleh generasi akan datang.
Beliau kini bersama Pergerakan Langkasuka berusaha memulih dan mengembangkan seni telepuk itu menerusi bengkel fizikal serta online yang turut mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.
Bercerita lanjut mengenai faktor yang menyebabkan telepuk hampir pupus, Norhaiza berkata, suatu ketika dahulu, busana itu hanya dipakai oleh golongan istana.
“Fabrik tersebut juga dihasilkan oleh kerabat diraja di istana lantas pembuatannya terhenti di situ sahaja dan tidak tersebar kepada golongan bawahan.
“Setelah kedatangan pelbagai fabrik lain dan busana dari Barat, raja-raja tidak lagi memakainya sehingga semakin dilupakan,” ulasnya yang turut dianugerahkan gelaran Warisan Kebangsaan Orang Hidup oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Tambahnya, membuat telepuk sangat sukar berbanding fabrik lain, ditambah lagi dengan tiada permintaan sehingga tiada yang mengusahakan pembuatan kain itu.

Harganya yang mahal juga menjadikan fabrik itu hanya mampu dipakai golongan diraja dengan anggaran harga kain sarung telepuk sekitar RM25,000 hingga RM40,000 bergantung kepada kehalusan dan kepadatan motif.
“Kain telepuk boleh tahan sehingga ratusan tahun tetapi sangat sensitif dan tidak boleh dibasuh, cukup sekadar diasap dengan wangian.
“Oleh itu, fabrik ini hanya sesuai dipakai raja-raja dan digunakan untuk acara istiadat rasmi sahaja,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.
Mengulas lanjut mengenai pembuatan cap telepuk, Norhaiza memberitahu, beliau menggunakan kayu lembut dan mempunyai ira yang halus.
“Antara kayu-kayu yang sesuai digunakan untuk membuat cap itu ialah cermai dan jelutong.
“Corak yang diukir ke atas kayu tersebut sama seperti motif popular fabrik Melayu yang lain seperti pucuk rebung, bunga tabur dan melur tetapi teknik telepuk ialah dicap ke atas kain,” katanya yang mengambil masa sehari hingga seminggu untuk menyiapkan ukiran corak bergantung tahap kesukaran.

Jelasnya, pada zaman dahulu, kerja mengukir sarang dan mengecap kain dilakukan dua orang berbeza yang mempunyai kepakaran masing-masing.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama Pergerakan Langkasuka, Abdul Razak Abdul Aziz berkata, program telepuk yang diusahakan bersama pihaknya mempunyai objektif yang besar antaranya menyelidik, mendokumentasi serta menghasilkan buku dan video.
“Kami juga mengadakan bengkel, sesi perbincangan selain memupuk dan membimbing pengusaha berpotensi menghasilkan produk bagi tujuan memelihara serta melestarikan warisan seni telepuk. Usaha pemuliharaan seni telepuk ini digerakkan di bawah Lamar Dollar Sdn. Bhd. sebagai penerima geran dari Yayasan Hasanah,” katanya.
Abdul Razak berkata, pihaknya bercita-cita besar untuk melahirkan seramai mungkin penyambung warisan menerusi program-program yang dilaksanakan.














