TAMPIN – Rutin menziarah pusara pasangan di Tanah Perkuburan Islam Tampin Tengah di sini mencipta takdir indah buat pasangan duda dan ibu tunggal apabila mereka kembali bertemu jodoh.
Noorafizah Muhd Jalil, 40, berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin kali kedua selepas kematian suaminya pada tahun 2018.
“Saya selesa hidup solo dan menguruskan seorang anak, namun semuanya (jodoh) sudah ditentukan Allah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut pekerja tempat penginapan berkonsep resort itu, dia kerap menziarahi kubur arwah suaminya sebelum bertemu Ramlan Ramly, 58, di tanah perkuburan tersebut empat tahun lalu.
Ramlan yang merupakan guru besar sebuah sekolah di Tampin pula kematian isteri pada tahun 2021. Lelaki itu mempunyai tiga anak yang berusia 20 hingga 35 tahun.
“Kami bertemu ketika menziarah pusara pasangan masing-masing. Kami bertegur sapa.
“Selepas empat tahun berkenalan dan mengenali keluarga masing-masing, kami merasakan wujud keserasian antara sama lain lalu memilih untuk berkahwin pada baru-baru ini,” kata wanita itu.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada Sabtu lalu di kediaman keluarga Noorafizah di Felda Selancar, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang.
Pada majlis itu, ibu anak satu itu menerima mas kahwin sebanyak RM100 dan 10 gram emas.
“Alhamdullilah keluarga kedua-dua belah pihak menerima kami dengan baik,” katanya.
Tambah wanita itu, dia dan suaminya sangat berharap pernikahan kali kedua mereka akan berpanjangan hingga akhir hayat.














