JAKARTA – Lebih 12 orang terkorban dalam kebakaran sebuah rumah jagaan warga emas di Pulau Sulawesi, manakala tiga yang lain cedera, kata seorang pegawai tempatan hari ini.
Pasukan bomba menerima laporan kebakaran pukul 8.31 malam semalam melibatkan rumah jagaan di ibu negeri wilayah Sulawesi Utara, Manado, kata ketua agensi bomba dan penyelamat tempatan, Jimmy Rotinsulu.
“Terdapat 16 kematian, manakala tiga lagi mangsa cedera,” katanya kepada AFP.
Kebanyakan mayat mangsa ditemui di dalam bilik mereka, kata Jimmy, sambil menambah, ramai penghuni warga emas sedang berehat di bilik masing-masing ketika kebakaran berlaku.
Pihak berkuasa berjaya memindahkan 12 orang dengan semua mereka tidak cedera.
Rakaman stesen penyiar tempatan, Metro TV menunjukkan api menjulang di rumah jagaan itu, sementara penduduk tempatan membantu memindahkan seorang warga emas.
Kebakaran maut bukan sesuatu luar biasa di Indonesia, negara Asia Tenggara yang terdiri daripada 17,000 pulau.
Bulan ini, kebakaran memusnahkan sebuah bangunan pejabat tujuh tingkat di Jakarta, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh.
Pada tahun 2023, sekurang-kurangnya 12 orang maut di timur negara itu dalam kejadian letupan di sebuah loji pemprosesan nikel. – AFP














