fbpx
Pengunjung menikmati pemandangan indah Sungai Kiulu di Lingga Eco Tourism, Kampung Lingga, Kiulu.

Pelancongan komuniti makin popular di Sabah, jana hasil penduduk tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sabah kini semakin menonjol sebagai destinasi utama pelancongan komuniti, dengan pengiktirafan antarabangsa dan serantau yang mengangkat peranan penduduk tempatan sebagai penggerak utama pengalaman pelancongan di kawasan luar bandar.

Antara yang sering menjadi rujukan adalah Koperasi Pelancongan Komuniti Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL) yang diiktiraf sebagai Kampung Pelancongan Terbaik oleh United Nations World Tourism Organization (UNWTO), hasil pendekatan pelancongan berasaskan komuniti dan pemuliharaan.

Di samping itu, beberapa produk pelancongan komuniti di Sabah turut menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard, mencerminkan usaha negeri ini dalam membangunkan pelancongan desa yang tersusun dan mampan.

Dalam menjayakan misi tersebut, Lembaga Pelancongan Sabah telah memainkan peranan penting dengan menyediakan latihan dan kemahiran kepada komuniti, agar mereka mampu mengurus destinasi sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar sejak tahun 2014.

Komuniti di Kiulu dan Kadamaian antara yang awal menerima latihan kerana menjadi projek perintis pembangunan pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti.

Salah satu pengusaha pelancongan komuniti adalah di Kiulu, Lingga Eco Tourism di Kampung Lingga yang mana ia merupakan antara lima pengusaha di Sabah yang menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard di peringkat kebangsaan tahun ini.

Terletak di kaki bukit yang menghijau dengan Sungai Kiulu yang mengalir di sekitarnya, Lingga Eco Tourism menampilkan aktiviti seperti mendaki Dapako Hill dan pelbagai pengalaman  aktiviti luar yang menyeronokkan, menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.

Selain mendaki, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti air seperti water rafting, sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Pengerusinya, Kait Lasangan berkata, setiap aktiviti eko-pelancongan diurus bersama komuniti, dengan penduduk tempatan terlibat sebagai pemandu pelancong, petugas penyelenggaraan, dan pengurus aktiviti.

“Sama ada sebagai guide kerja gotong-royong, atau pembersihan kawasan, semuanya dibayar dan memberi pendapatan kepada penduduk setempat.

“Penglibatan komuniti tempatan bukan sahaja memandu laluan, malah mereka juga berkongsi cerita kampung dan pengalaman harian, menjadikan pengalaman pengunjung lebih dekat dan terasa autentik,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mereka yang mencari sungai jernih dan kawasan perkhemahan semula jadi, Kadamaian menawarkan sungai yang mengalir dari kaki Gunung Kinabalu dan tapak perkhemahan yang dikelilingi alam semula jadi.

Selain itu, bagi mereka yang ingin merasai kehidupan pertanian dan agro-tourism, kawasan pedalaman seperti Tambunan dan Tenom menawarkan peluang untuk mencuba aktiviti berkebun atau memetik hasil tempatan.

Bagi pencinta alam semula jadi dan hidupan liar, Kinabatangan bersama KOPEL menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melihat hidupan liar sambil menyokong komuniti tempatan.

Di daerah tanah tinggi Kundasang, udara segar dan sejuk serta panorama ladang sayur menanti pengunjung yang ingin menikmati pengalaman pergunungan, dengan Taman Kinabalu Park , sebuah  tapak Warisan Dunia yang menempatkan Gunung Kinabalu yang terletak berhampiran kawasan ini.

Kehidupan pesisir dan budaya tempatan pula boleh dinikmati di kawasan Kota Marudu dan Kudat, yang menampilkan pantai yang menenangkan serta budaya Rungus yang unik.

Dengan pelbagai pengalaman yang ditawarkan, pelancongan komuniti di Sabah bukan sahaja memberi keseronokan kepada pengunjung, malah menyokong pembangunan mampan dan kehidupan komuniti tempatan.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia tahun 2026, Sabah kini membuka pintu kepada pelancong domestik untuk mengalami sendiri pelancongan komuniti, alam semula jadi, dan budaya tempatan.

Kerajaan negeri pula telah menetapkan Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai agenda utama pelancongan, dengan penekanan terhadap pengalaman pelancongan yang berasaskan komuniti, alam semula jadi dan budaya tempatan. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI