DUNGUN – Seorang lelaki warga emas ditahan reman tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan dakwaan merogol cucu perempuannya berusia lima tahun, di Kemaman pada Rabu lalu.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 62 tahun itu dibenarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman di Mahkamah Majistret Dungun, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, suspek ditahan di rumahnya di Chukai, Kemaman dekaf sini pukul 7.45 petang semalam.
Beliau berkata, cucu suspek pada mulanya telah dibawa untuk pemeriksaan di hospital selepas mengadu sakit pada bahagian alat sulitnya.
“Ibu mangsa mengesan kesan kemerahan pada alat sulit anaknya sebelum merujuk ke hospital.
“Pemeriksaan pakar perubatan mengesahkan kesan koyakan pada alat sulit mangsa yang juga bercerita insiden rogol tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














