KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh ditahan polis bagi membantu siasatan kes penderaan melibatkan beberapa bayi di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Desa Petaling, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berkaitan kejadian tersebut yang membabitkan bayi berusia enam dan sembilan bulan.
Beliau berkata, suspek seorang wanita berusia 26 tahun telah ditahan pada 16 Disember lalu bagi siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, siasatan awal mendapati setakat ini hanya seorang individu dikenal pasti terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kemarahan seorang ibu selepas mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh anaknya yang berusia enam bulan, dipercayai akibat didera ketika berada di taska berkenaan.
Insiden itu turut tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads menggunakan akaun @Liyanazulkifli memuat naik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan kasar seorang pengasuh terhadap beberapa bayi.
“Anak saya diperlakukan seperti anak patung. Ketika dibedung, dia dicampak, digolekkan dan dipijak. Anak saya baru enam bulan dan tidak tahu apa-apa,” luah wanita tersebut dalam hantaran berkenaan. – KOSMO! ONLINE














