PETALING JAYA – Pengalaman seorang lelaki melayan kunjungan jemaah tabligh walaupun dalam keadaan penat selepas pulang dari tempat kerja mencuri perhatian netizen.
Menerusi hantaran oleh pengguna Threads, @Rusydi_rosl, dia berkongsi situasi ketika baru tiba di rumah selepas memandu dari Kuala Lumpur ke Nilai sebelum didatangi jemaah tabligh, tidak sampai lima minit selepas kepulangannya.
Menurutnya, keadaan ketika itu agak mencabar memandangkan dia keletihan dan waktu Maghrib pula hampir masuk, namun tetap memilih untuk menyambut kunjungan tersebut dengan baik atas dasar adab melayan tetamu dalam Islam.
“Tetapi bagi saya mereka ini tetamu dan adab melayan tetamu dalam Islam, sambutlah mereka dengan mesra, sediakan jamuan ikut kemampuan,” katanya.
Dia menjelaskan, demi menjaga batas dan maruah sebagai tuan rumah, khususnya kerana isterinya berada di dalam rumah, dia melayan jemaah tersebut di kawasan anjung kereta dengan menyediakan air minuman dan buah-buahan.
Katanya, dia sempat meluangkan kira-kira 10 minit bersama jemaah berkenaan yang berkongsi peringatan tentang iman sebelum mendoakan kesejahteraannya.
“Katakanlah antara mereka yang soleh, insya-Allah ada doa yang diangkat. Betapa ruginya saya di situ kalau tak layan,” ujarnya.
Tambahnya, pengalaman tersebut memberi ketenangan kerana menerima nasihat yang mengajak ke arah kebaikan, walaupun dalam tempoh masa yang singkat.- KOSMO! ONLINE.














