fbpx
Luahan ibu bapa berhubung anak mereka tidak mendapat tempat di asrama sekolah khusus bagi tingkatan satu biarpun mereka merupakan murid cemerlang sekolah mereka.

Ramai anak cemerlang di sekolah, tak lepas masuk asrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai ibu bapa meluahkan rasa sedih apabila anak mereka mendapat keputusan cemerlang termasuk dinobatkan sebagai tokoh pelajar, namun masih tidak mendapat tempat di asrama sekolah.

Tawaran itu melibatkan Sekolah Khusus iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk kemasukan tingkatan satu tahun 2026.

Seorang daripada ibu, Hidayu Kamal memuat naik pada TikTok berkenaan pencapaian cemerlang anaknya, namun turut tidak berjaya untuk permohonan tersebut.

“Maaf meluah, saya tahu ramai mengalami nasib sama. Saya sedih kerana kasihankan anak saya. Dia dah berusaha sehabis baik.

“Saya saksi penat lelah dia selama ini. Kalau ada yang tahu, tahap apa yang diukur supaya lulus untuk ke sekolah khusus. Merata saya cari jawapan,” katanya.

Hidayu berkata, antara pencapaian anaknya di sekolah ialah dinobatkan Tokoh Akademik, Tokoh Kokurikulum, Anugerah Pencapaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Terbaik, Ketua Pengawas, penyertaan pelbagai pertandingan, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah, Majlis Sukan Sekolah Johor dan antarabangsa serta keputusan 9A Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

“Cikgu kelasnya pun terkejut bila dapat tahu pagi tadi,” katanya menjawab komen seorang cikgu lain.

Seorang lagi ibu, Qaseh Iman turut berdepan nasib sama apabila anaknya sudah sampai ke peringkat temu duga, namun tiada rezeki buatnya.

“Kita senasib, dah lulus Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK). Dah panggil temu duga, tapi tak ada rezeki. Allah dah atur macam tu. Mungkin nak anak selalu dekat dengan kita,” katanya.

Pengguna TikTok, Lina Wan juga memberitahu, anaknya tidak mendapat tempat di Sekolah Khusus tersebut dan dia akan menghantarnya ke sebuah sekolah agama yang lain.

“Anak saya pun sama, aktif dan semua keputusan A dan Mumtaz bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama. Tak dapat SBP, MRSM, SMKA. Tapi Allah tahu yang terbaik untuk anak. Kami berlapang dada. Alhamdulillah, anak sekarang rezeki di madrasah,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan, Semakan Tawaran Kemasukan ke Sekolah Khusus dan MRSM Tahun 2026 bagi murid tingkatan satu, tingkatan empat dan tahun satu Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dibuka mulai semalam hingga 13 Januari 2026.

Murid yang tidak ditawarkan ke mana-mana sekolah khusus atau MRSM boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian yang mana tarikh rayuan bermula semalam hingga 13 Januari 2026, manakala tarikh semakan rayuan bermula 6 hingga 10 Februari 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN