fbpx
Selain persembahan mega di SNBJ, Siti bakal mengadakan konsert tradisional tidak lama lagi.

Jaga disiplin, hormat seni rahsia kemenjadian Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKI dilanda badai taufan, beliau kekal utuh di posisi yang dicipta sejak tiga dekad lalu. Begitu yang boleh dirangkumkan perjalanan pemilik nama Datuk Seri Siti Nurhaliza sehingga hari ini.

Menilai semula aturan pelayaran seni anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang berkenaan sepanjang tahun ini, Biduanita Negara itu tidak pernah menyepi walau sedetik dari radar hiburan tanah air.

Ibarat lagunya yang sentiasa bergema di corong radio, begitulah juga pelbagai cerita lain tentangnya terus menjadi bahan bualan ramai termasuk perihal konsert solo Januari depan, peluncuran album dan kerja-kerja amalnya.

HibGlam bagi sisipan terakhir tahun ini membawa penghibur nombor satu negara itu yang berkongsi harapan dan apresiasinya kepada peminat.

HIBGLAM: Ramai melabel tahun 2025 adalah milik anda, mungkin apa yang anda oleh rangkumkan mengenai perjalanan seni sepanjang tahun ini?

SITI NURHALIZA: Alhamdulillah, tahun 2025 bagi saya adalah tahun penuh kesyukuran. Setelah hampir tiga dekad berada dalam industri, setiap album, pelbagai pengiktirafan dalam bidang seni, perniagaan, institusi ilmu dan kerja-kerja amal (Yayasan Nurjiwa) yang diterima adalah hasil doa, kerja keras serta kepercayaan pelbagai pihak.

Terima kasih buat peminat yang sentiasa menanti dan mendoakan setiap hasil kerja saya sehingga kini.

Setahun membawa gelaran Biduanita Negara, adakah itu satu tanggungjawab berat untuk digalas?
Sejujurnya, ya gelaran itu satu amanah yang sangat besar. Bukan sekadar pengiktirafan tetapi tanggungjawab untuk terus menjaga nilai seni, akhlak dan kualiti karya yang hendak dipersembahkan.

Saya sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa gelaran ini bukan kepunyaan saya seorang tetapi milik industri dan generasi seni yang terdahulu. Jadi setiap langkah dalam bidang seni ini, saya lakukan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

Nama Siti kekal relevan dan menjadi ikon. Apakah satu rahsia kejayaan untuk artis kekal lama?
Rahsia yang paling asas adalah disiplin dan rasa hormat terhadap seni. Jangan pernah rasa diri sudah cukup hebat.

Sentiasa belajar, mendengar dan berkembang mengikut peredaran zaman tanpa mengorbankan jati diri. Paling penting, jaga hubungan dengan peminat kerana mereka adalah nadi kepada perjalanan seseorang artis.

Berada dalam zaman viral, adakah Siti menapis setiap kandungan media sosial yang ingin dikongsi kepada umum terutama berkaitan keluarga?
Media sosial adalah ruang awam, jadi saya sentiasa berhati-hati dan perihal keluarga adalah ruang peribadi yang perlu dilindungi.

Apa yang dikongsi diharapkan dapat memberi inspirasi atau menghiburkan hati peminat. Sesekali mungkin ada yang saya kongsikan (hal peribadi) tetapi saya percaya, tidak semua perkara perlu ditonjolkan dalam media sosial.

Tahun ini sudah cemerlang, bagaimana pula dengan perancangan untuk 2026?
Untuk tahun 2026 pula, saya anggap sebagai fasa meraikan perjalanan kehidupan lebih matang dalam apa juga yang saya lakukan terutama dalam memberi semula kepada masyarakat.

Semoga semua perancangan saya dalam kehidupan, kerjaya, perniagaan dan kerja kebajikan pada tahun 2026 berjalan lancar. Selain konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, ada beberapa perancangan lain termasuk konsert tradisional yang akan dilaksanakan. Promosi album Gema Bumantara juga akan dipergiatkan tahun 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN