PETALING JAYA – Sering terganggu bunyi dengkuran pasangan, kerap terjaga apabila tersentuh menyebabkan terdapat pasangan suami isteri yang mengambil keputusan untuk tidur asing demi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.
Seorang eksekutif pemasaran yang mahu dikenali sebagai Ika, 39, berkata, pada mulanya dia dan suami sering bertengkar selepas dia tidak dapat tidur lena kerana lelaki itu berdengkur sebelum mengambil keputusan untuk tidur berasingan.
“Semasa ambil keputusan tidur asing, tipulah kalau tidak berat hati. Tetapi kami sudah kerap sangat bertengkar kerana hal itu.
“Saya pernah cadangkan suami untuk dapatkan rawatan, namun dia enggan kerana katanya berdengkur ini normal. Bagaimanapun, selepas beberapa kali tidur berasingan dia akhirnya akur untuk dapatkan rawatan dengan pakar,” katanya.
Ika berkata, keputusan mereka untuk berpisah tempat tidur itu sememangnya mendapat tentangan daripada orang tua kerana dikatakan tidak baik untuk hubungan suami isteri.
“Namun apa yang membuatkan kami tetap dengan cara kami ini ialah kerana hubungan kami suami isteri bertambah baik. Tiada lagi bergaduh sebab berdengkur malah rutin selepas bangun tidur masih sama seperti makan bersama dan suami juga bersiap untuk ke kerja dalam bilik kami seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun, berbeza pula dengan apa yang dilalui oleh seorang pereka grafik yang hanya ingin dikenali sebagai Nur, 39, apabila dia dan suami tidur berasingan sejak memasuki tahun ke sembilan perkahwinan.
Katanya, mereka mula tidur berasingan secara tidak sengaja apabila dia kerap menemani anak perempuannya tidur di bilik lain.
“Anak tidak mahu belajar tidur sendiri. Disebabkan kasihan melihat dia menangis, saya terpaksa temankan dia hingga kini dia sudah berusia 7 tahun dan adiknya berusia 3 tahun. Suami pula tidur di bilik kami, jadi lama-kelamaan perkara itu jadi biasa,” katanya.
Ditanya adakah hubungan antara dia dan suami menjadi renggang disebabkan tidur berasingan itu, Nur berkata, perkara itu tidak menjejaskan kemesraan dan mereka menjalani hidup seperti pasangan lain.
“Perkara itu semua boleh dirancang bersama-sama, jadi setakat ini tiada soal hubungan itu tidak lagi mesra.
“Setiap hari kami berbual seperti biasa, uruskan hal rumah dan anak bersama. Pendek kata kehidupan kami normal sahaja, tidak ada apa yang berubah ketara sejak jarang tidur bersama,” katanya.














