fbpx
Antara selebriti tempatan yang mendapat perhatian baik dari segi populariti mahupun kualiti hasil keberhasilan seni.

Menggelegak, selebriti Malaysia ‘menyala’ tahun 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANYA tinggal beberapa hari lagi tirai tahun baharu bakal dibuka, sekali gus meninggalkan pelbagai memori yang tercipta sepanjang 2025.

Bagi industri hiburan, sepanjang tempoh setahun ini banyak pencapaian turut diraih penggiat seni terutama di arena lakonan serta muzik.

Kejayaan dicipta termasuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa yang secara tidak langsung membuktikan taring anak tempatan juga berbisa.

Begitupun, ada dalam kalangan artis tempatan yang mencatat pelbagai kejayaan besar di pentas sendiri sekali gus menyuntik inspirasi kepada peminat serta rakan seperjuangan. Antaranya, Ernie Zakri yang dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular 2025. 

HibGlam menyenaraikan karyawan lokal yang menyerlah di gelanggang sendiri, selain mereka yang turut membanggakan Malaysia dengan hasil kerja

  • Datuk Rosyam Nor

Rosyam dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada International Film Festival of Australia (IFFA) 2025 menerusi filem Banduan.

Aktor versatil berusia 58 tahun itu membawakan watak sebagai Inspektor Johari yang cuba menumpaskan sindiket dadah bersama pasukannya.

Naskhah adaptasi daripada filem Tamil berjudul Kaithi itu mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM8 juta ketika ditayangkan pada 6 November lalu. 

Ternyata, hampir empat dekad menabur bakti, kredibiliti pemilik nama lengkap Mohamed Noor Shamsuddin itu tetap menjadi contoh kepada penggiat seni lain.

  • Syafiq Kyle

Pelakon Syafiq Kyle mencipta kejayaan gemilang menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga dengan merangkul anugerah Rising Icon pada Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) di Kuala Lumpur pada Disember 2025. 

Pencapaian diraih hasil penelitian juri secara tidak langsung mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon versatil di Asia Pasifik.

Pada masa sama, akuinya pengiktirafan berkenaan juga menyuntik semangat untuk melebarkan langkah ke arena antarabangsa.

Sebelum itu, Syafiq bersama seorang lagi teraju filem tersebut, Syazwan Zulkifly membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).

  • Anna Jobling

Pelakon Anna Jobling antara artis muda berbakat besar yang tidak hanya bermodalkan pakej jelita, malah menunjukkan prestasi lakonan memberangsangkan.

Turut melebarkan langkah di Indonesia, wanita berdarah campuran itu sudah kerap kali membawa pulang trofi bersandarkan populariti di arena tempatan.

Terbaharu, bintang Hai Cinta itu memenangi anugerah Selebriti Paling Viral/Popular di luar negara pada Seoul International Drama Awards 2025 Oktober lalu.

Secara tidak langsung, pengiktirafan luar terhadap pelakon berusia 25 tahun ini turut membanggakan negara sekali gus menyerlahkan lagi nama Malaysia di pentas global.

  • Siti Saleha

Siti Saleha memulakan tahun 2025 dengan cemerlang apabila meraih anugerah berprestij Brand Personality Award pada majlis anjuran BrandLaureate yang berlangsung di Swissotel, The Stamford, Singapura pada Februari 2025. 

Pengiktirafan itu adalah sebagai bukti kerja keras dan sumbangan beliau sebagai pelakon Malaysia di peringkat antarabangsa. 

Tahun lalu aktres jelita itu mengharumkan nama negara dengan memenangi trofi Bintang Asia Terbaik (Best Asia Star) pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024.

Pada Oktober 2025 pula, figura berusia 35 tahun itu bergelar Profesor Adjung Sarjana Muda Seni Persembahan Taylor University.

  • Faizal Hussein

Drama bersiri terbitan syarikat produksi milik pelakon dan penerbit, Erma Fatima, Bidaah mencetuskan fenomena sekali gus menduduki tempat pertama bagi 10 program utama di platform Viu mengatasi drama lain termasuk Korea Selatan.

Pelakon utamanya, Faizal Hussein mencetuskan sensasi tersendiri menerusi karakter Walid sehingga menjadi igauan ramai penonton bukan sahaja di Malaysia, bahkan negara jiran seperti Indonesia. 

Drama arahan Pali Yahya mencetuskan sensasi apabila memaparkan babak intim membabitkan watak Walid Muhammad Mahdi Ilman lakonan Faizal dan Ummi Rabiatul (Vanidah Imran) menyaksikan aktres itu mengusik janggut Walid menggunakan kaki.

Susulan popularitinya, tiga syarikat produksi Indonesia bakal menghasilkan filem dengan mengambil inspirasi kisah kontroversi yang ditonjolkan dalam Bidaah.

  • JessC

Penyanyi Jessie Chung atau dikenali JessC, dinobatkan pemenang kategori Best Asian Pop menerusi lagu popularnya berjudul My Style pada InterContinental Music Awards 2025 (ICMA) yang berlangsung di Los Angeles, baru-baru ini.

ICMA adalah acara anugerah muzik antarabangsa berprestij, dengan juri terdiri daripada pakar industri muzik dari seluruh dunia yang pernah bekerjasama dengan artis besar seperti Celine Dion, Selena Gomez dan Ricky Martin.

JessC juga pelakon kelahiran Malaysia kini berpangkalan di Australia di bawah label Future Global Entertainment. Lagunya yang kerap diputarkan radio di negara itu adalah Six Feet Deep.

Selebriti itu kini rancak menjayakan promosi global single terbarunya, One Chance di Amerika Syarikat, diikuti Eropah dan Amerika Selatan dengan sasaran menjangkau 50 negara dan 100 bandar.

  • Sharnaaz Ahmad

Filem aksi blockbuster Blood Brothers: Bara Naga (2025) arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra meraih kejayaan luar biasa dengan kutipan keseluruhan melebihi RM73.64 juta. 

Lebih manis, naskhah terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios ini juga diiktiraf sebagai filem tempatan paling laris dengan memenangi Anugerah Khas Filem Box Office serta kategori teknikal pada FFM34 tahun ini. 

Blood Brothers menjadi filem paling laris lakonan Sharnaaz Ahmad selepas agak lama ‘menyepi’ di skrin layar perak atau dunia perfileman. 

Selain Sharnaaz sebagai teraju utama, cerita berkisar pengkhianatan dalam organisasi ‘keselamatan elit’ itu turut membariskan Syafiq Kyle, Syazwan Zulkifli, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Wan Hanafi Su dan Zamarul Hisham.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI