KUALA LUMPUR – Ahli keluarga dua beranak yang ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah Flat Sentul Utama, Jalan Dato Sena, di sini hari ini mengakui terkejut dan masih bersedih dengan kejadian yang berlaku.
Anak kedua mangsa yang mahu dikenali sebagai Zul, 60-an, berkata, kali terakhir dia bertemu ibunya, Jamilah, 83, yang menetap bersama adik lelaki bongsunya, Zuzaini, 58, baru-baru ini.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 7 pagi tadi dan terkejut mendengar perkara itu. Saya sedih, namun reda dengan semua yang berlaku.
“Proses bedah siasat dilakukan pada pukul 3 petang tadi dan insya-Allah pengebumian dijalankan pada pagi esok,” katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di sini, hari ini.
Zul berkata, sebelum ini dia dan adik-beradik lain menjaga ibu mereka secara bergilir-gilir sama ada di rumah masing-masing atau kediaman warga emas tersebut.
“Baru-baru ini emak tinggal dengan saya selepas keluar hospital. Apabila keadaannya sudah baik dan boleh berjalan, dia mahu pulang ke rumah sendiri,” katanya.
Mengenai dakwaan adiknya yang membakar barang dalam rumah sebelum ini, Zul memberitahu, dia tidak mengetahui perkara tersebut dan sepanjang pengetahuannya lelaki itu tidak pernah melakukan perbuatan tersebut.
Zul turut berterima kasih kepada jiran-jiran yang cuba membantu ibu dan adiknya ketika kejadian.
Terdahulu media melaporkan, dua beranak ditemukan maut dalam kejadian kebakaran di Sentul pagi tadi. Pihak bomba menjumpai jasad wanita berusia 82 tahun dan anak lelakinya di dalam tandas rumah tersebut. – KOSMO! ONLINE














