fbpx
ANTARA salah satu daripada tiga kemalangan yang meragut nyawa penunggang motosikal pada Hari Krismas sekitar Johor Bahru, semalam. Foto IHSAN POLIS

3 maut kemalangan motosikal pada Krismas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tiga penunggang motosikal menemui ajal pada hari Krismas selepas mereka terbabit dalam kemalangan secara berasingan di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pertama pukul 4.40 pagi, seorang lelaki berusia 29 tahun maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang terbabas di Kilometer (KM) 7.9, Lebuhraya Pasir Gudang di sini.

Katanya, ketika kejadian pelayan restoran itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Kota Tinggi dari tempat kerja di Iskandar Puteri.

“Siasatan awal mendapati cuaca baik dan trafik tidak sibuk. Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di tengah jalan dan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Raub berkata, kejadian kedua pada pukul 5.50 pagi melibatkan lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia selepas motosikal Yamaha Y15ZR terbabit dalam nahas dengan van di persimpangan Jalan Rahmat ke Jalan Utama, Kampung Melayu Majidee.

Jelasnya, siasatan awal mendapati motosikal itu bergerak lurus sebelum dilanggar van yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dipercayai sedang membelok masuk simpang.

“Akibatnya, penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan,” katanya.

Raub berkata, kejadian ketiga pukul 1.56 petang membabitkan warga emas berusia 76 tahun yang maut selepas motosikal Yamaha Ego Solariz terlibat nahas dengan dua buah kereta di simpang Jalan Desa Mutiara 6 – Jalan Persiaran Desa Mutiara.

Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke surau untuk solat zuhur sebelum hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan melanggar kenderaan jenis Toyota Vellfire dan Perodua Alza yang diletakkan  di bahu jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail. Ketiga-tiga kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI