PETALING JAYA – Tindakan pasangan selebriti Pekin Ibrahim dan Mona Allen mencetuskan kontroversi apabila didakwa menyambut perayaan Hari Natal mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan akidah Islam mereka.
Spekulasi timbul selepas netizen memuat naik semula potongan video InstaStory dalam Threads yang memaparkan Mona dan Pekin menghadiri sebuah majlis bersama beberapa kenalan rapat mereka.
Pasangan suami isteri itu dilihat mengenakan topi berwarna merah dan putih yang sinonim dengan karakter Santa Claus sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Malah, mereka juga dilihat melakukan aktiviti bertukar hadiah yang lazimnya dikaitkan dengan sambutan perayaan Krismas.
Lebih mengejutkan ramai apabila melihat pemilik nama sebenar Munna Hafiraneza Allen, 40, yang berketurunan campuran Melayu-Scotland mengenakan kain batik bagi menutup kepala sambil menampakkan sebahagian rambutnya.
Perkara tersebut menjadi perbualan hangat memandangkan pelakon drama Monalisa itu sebelum ini dikenali sebagai seorang yang berhijab.
“Amboi Mona sakan perli Uqasha pukul lipas dan nyamuk tak mati, sekali sambut Krismas. Itulah, jangan mengata orang,” kata netizen.
“Salam Mona, adakah awak benar-benar mengamalkan kehidupan sebagai seorang Muslim? Jangan main dengan hukum Allah, ini hanyalah peringatan,” pesan netizen lain.
“Jangan terpedaya dengan artis yang pakai tudung labuh, konon sertai usrah. Sekarang dah terlondeh dengan sambut Krismas, rambut karat,” tutur netizen.
Berdasarkan pemerhatian, pasangan itu tidak memuat naik sebarang foto atau video mengenai kehadiran mereka di majlis tersebut di platform media sosial masing-masing.
Namun, mereka hanya memuat naik hantaran berkaitan hadiah yang mereka terima daripada kenalan rapat. – KOSMO! ONLINE














