fbpx
Suspek akan didakwa di Mahkamah Butterworth, pagi esok.

Anak lelaki mangsa maut kebakaran dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Anak lelaki kepada wanita yang maut terperangkap bersama anak angkatnya dalam kebakaran di kediaman sewa mereka di Taman Rathna di sini, akan dituduh di Mahkamah Butterworth pagi esok.

Suspek berusia dalam kalangan 20-an itu akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Butterworth bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kira-kira pukul 9 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail turut mengesahkan mengenai perkara tersebut.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan suspek yang merupakan anak lelaki mangsa akan dituduh dalam tempoh terdekat selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad dilaporkan berkata, laporan penuh siasatan kebakaran yang mengorbankan seorang wanita bersama anak angkat perempuan berusia empat tahun dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurutnya, pihak JBPM masih mengumpul beberapa lagi maklumat bagi melengkapkan laporan itu.

Baru-baru ini, Kosmo! Online melaporkan pemuda berusia 20-an yang ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan disahkan tidak mempunyai rekod perubatan psikiatri.

Jenazah Hayani Yaakob, 50-an bersama anak angkat perempuannya yang dikenali sebagai Andra masih belum boleh dituntut dan dikebumikan kerana perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, mayat dua mangsa rentung ditemukan secara bersebelahan pada jarak satu meter di bahagian ruang tamu, dekat pintu keluar utama.

Anak lelaki wanita itu pula ditemukan selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN