PETALING JAYA – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bersetuju dengan cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional seperti yang dinyatakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Ahmad Fadhli menerusi hantaran Facebook berkata, Muafakat Nasional merupakan satu kebangkitan semula kepada perpaduan ummah.
“Saya sangat setuju dengan cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional ini. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah.
“Tahniah Ketua Pemuda UMNO. Hidupkan kembali rundingan, tubuh JK Perunding. Sebaik sahaja UMNO/Barisan Nasional isytihar keluar daripada gabungan bersama Pakatan Harapan, kita lancarkan terus Muafakat Nasional,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian memberi maklum balas kepada reaksi Dr. Muhamad Akmal berhubung situasi politik di Perlis susulan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Menerusi hantaran Dr. Muhamad Akmal pada Facebook, beliau mencadangkan Perikatan Nasional dibubarkan, manakala Muafakat Nasional diwujudkan semula. – KOSMO! ONLINE














