fbpx
NAJIB berdepan 25 pertuduhan berkait kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Nasib Najib kes 1MDB diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Selepas tujuh tahun perbicaraan berlangsung, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan esok bagi keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak atas 25 pertuduhan berkaitan ­penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan sama ada Najib disabit atau dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu akan ditentukan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang telah selesai mendengar keseluruhan keterangan saksi-saksi.

Perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh dunia itu telah mengambil masa keseluruhan selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan pada akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu. Untuk rekod, Najib dihadapkan ke mahkamah pada 20 September 2018, manakala hari pertama perbicaraan didengar pada 28 Ogos 2019.

Prosiding pada asalnya dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Istana Kehakiman di sini apabila Hakim Collin dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan).

Kes pendakwaan berlangsung selama 235 hari dan berakhir pada 30 Mei 2024 selepas mendengar keterangan 50 saksi.

Pada 30 Oktober 2024, Hakim Collin kemudian memutuskan bekas Perdana Menteri untuk mem­bela diri terhadap semua pertuduhan. Kes pembelaan didengar selama 58 hari dimulai dengan keterangan Najib pada 2 Disember tahun lalu.

Kes ditutup pada 6 Mei lalu selepas mengemukakan 26 saksi pembelaan. Antara saksi utama yang memberi keterangan semasa peringkat pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adik kepada Sultan Terengganu iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada prosiding itu, Najib diwakili pasukan peguam dike­tuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibantu Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan dibantu oleh Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan Lee, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md. Saud.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013. Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN