PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memberi tumpuan kepada siasatan melibatkan seorang bekas menteri yang pernah berada dalam barisan Kabinet sebelum era Covid-19, susulan dakwaan berlakunya penyelewengan.
Individu berkenaan sebelum ini pernah berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah beberapa tahun lalu dan siasatan terbaharu kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan ketika beliau memegang jawatan dalam sebuah kementerian.
Siasatan SPRM kini berkait pemindahan sebidang tanah milik kerajaan bernilai tinggi yang didakwa diserahkan kepada sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka.
Tindakan berkenaan dipercayai mengandungi elemen rasuah dan salah guna kuasa.
Berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima daripada orang awam, SPRM membuka kertas siasatan meskipun bekas pemimpin itu sudah lama meninggalkan pentadbiran kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan terbaharu dan akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Saya sahkan dan akan memanggil beberapa individu dalam siasatan berkenaan,” katanya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan individu berkenaan berada dalam radar siasatan SPRM susulan dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat di sebuah kementerian membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka. – KOSMO! ONLINE














