SELEPAS olahraga negara menepati sasaran lima pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menegaskan tumpuan kini perlu dialihkan kepada perancangan lebih agresif menjelang Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur dengan sasaran kutipan emas yang lebih besar.
Nazmizan yang menggalas amanah sebagai salah seorang Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) negara percaya pencapaian di Bangkok tidak seharusnya menjadi titik selesa, sebaliknya dijadikan landasan untuk membina lonjakan prestasi lebih signifikan apabila Malaysia tampil sebagai tuan rumah dua tahun lagi.
“Tahun ini membuktikan kita mampu capai sasaran yang ditetapkan, jadi untuk edisi akan datang, saya rasa sudah tiba masanya sasaran pingat emas ditingkatkan, mungkin kepada sekitar 10 hingga 12 emas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Olahraga Malaysia (MA) perlu lebih realistik dan berani membuat pilihan strategik dalam merangka program pembangunan dengan memberi keutamaan kepada acara yang benar-benar mempunyai potensi pingat.
“Untuk Sukan SEA, kita tak perlu sasarkan pingat bagi acara yang jelas didominasi negara lain seperti pecut, sebaliknya fokus kepada acara yang kita ada peluang lebih besar seperti larian jarak jauh, 10,000 meter dan jalan kaki,” katanya.
Menurut Nazmizan, perubahan landskap olahraga serantau menuntut pendekatan baharu, termasuk menarik lebih ramai atlet jarak jauh yang kini cenderung memilih acara maraton susulan tawaran ganjaran kewangan yang lebih lumayan.
“Dulu kita kuasa besar larian trek, tetapi sekarang kita perlu ikut peredaran semasa. MA perlu menarik minat pelari jarak jauh dan membina ekosistem yang menyokong potensi mereka,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkemas persiapan menuju Sukan SEA 2027 dengan pendekatan lebih menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada Program Podium atau pelapis, sebaliknya meneliti dan menggilap atlet yang benar-benar berpotensi menyumbang emas.
“Program ke arah 2027 perlu lebih terperinci, teliti dan fokus. Kita perlu kenal pasti prospek emas dan gilap mereka sebaik mungkin kerana kita akan menjadi tuan rumah,” katanya.
Sebagai contoh, Nazmizan melihat atlet seperti Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Andre Anura memiliki potensi besar untuk menyinar pada edisi akan datang sekiranya diberikan pendedahan, bimbingan serta program yang tepat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Dengan status tuan rumah pada 2027 serta asas kejayaan yang telah dibina di Bangkok, Nazmizan menegaskan masa depan olahraga negara kini bergantung kepada keberanian membuat keputusan strategik demi merealisasikan lonjakan emas di pentas sendiri.














