SHAH ALAM – Tiga pucuk pistol tiruan dan tabung surau antara 34,120 barang kes yang dilupuskan bernilai RM1.6 juta oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitendan Mohd. Rahimi Zainol berkata, ia merangkumi rampasan dari tahun 2017 hingga tahun ini yang telah selesai melalui proses prosiding di mahkamah.
Menurutnya, ia membabitkan 797 kertas siasatan merangkumi kes perjudian, kontraban, bitcoin dan lain-lain lagi.
“Antara yang dilupuskan adalah 2,945 barang kes judi, kontraban (28,493) dan 1,501 melibatkan kes am serta 1,181 (bitcoin).
“Sejumlah wang tunai RM296,485.80 yang dirampas telah dilucut hak dan diserahkan kepada Perbendaraan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelupusan di pekarangan Balai Polis Kapar di sini hari ini.
Beliau menambah, tiga pucuk pistol tiruan dan angin yang digunakan untuk melakukan kes bunuh dan jenayah kekerasan juga dilupuskan pihaknya termasuk sebuah tabung surau yang dicuri pada tahun lalu setelah pihak surau tidak menuntutnya selepas siasatan selesai.- KOSMO! ONLINE














