BANGKOK – Jika ramai yang dihimpit nasib malang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19, ia menjadi perkara yang berbeza buat penjaga gol futsal Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Mohammad Ammar Harith Mohammad.
Larangan aktiviti terbuka sepanjang PKP menyaksikannya tidak dapat mengekalkan fizikal ideal sebagai penyerang dan situasi itu mengheret kepada perubahan posisi kepada penjaga gol.
Tanpa diduga, perubahan itu membuka peluang lebih besar kepadanya hingga dipilih mewakili Malaysia buat pertama kali untuk bertanding di peringkat antarabangsa iaitu di Kejuaraan B-19 Asia Tenggara .
“Sejak kecil saya memang aktif dalam bola sepak dan futsal. Pada asalnya penjaga gol bukan posisi asal kerana saya bermain sebagai penyerang.
“Segalanya bermula ketika PKP, sejak daripada itu saya mula bermain sebagai penjaga gol,” katanya yang lebih dikenali sebagai Bulat.
Daripada corak permainannya, Bulat dikenali sebagai pemain yang mampu mengekalkan ketenangan walaupun berdepan tekanan lawan dan pernah menerima anugerah penjaga gol terbaik Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan.
Aksi tangkasnya juga berjaya membantu Kelantan FT muncul juara Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan 2025 selepas bangkit menumbangkan Selangor FC 2-1.
Skuad B-19 negara akan memulakan aksi Kumpulan B Kejuaraan B-19 Asia Tenggara menentang Myanmar, 3 petang ini sebelum melengkapkan aksi awal bertemu Indonesia pada Khamis.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang akan dilangsungkan pada Sabtu manakala final dijadualkan berlangsung 29 Disember. – KOSMO! ONLINE














