KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dikejarkan ke sebuah hospital di ibu negara sekembalinya daripada urusan luar negara, hari ini.
Setiausaha Akhbarnya, Mohamad Azreen Jumri memaklumkan bahawa Mohd. Shukri pada awalnya mengadu sakit pada bahagian dada sebelum dikejarkan untuk pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini, keadaan beliau stabil dan mohon semua rakyat Perlis mendoakan agar beliau sihat sejahtera dan dilindungi Allah daripada sebarang musibah,” katanya ringkas.
Difahamkan, Mohd. Shukri menghadiri Karnival Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai, China dalam inisiatif menarik pelaburan dan memperkukuh daya saing perusahaan tempatan.
Karnival itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam memperluas jaringan serta akses pasaran halal di peringkat global. – KOSMO! ONLINE














