NEW DELHI – Seorang lelaki mengundang perhatian ramai apabila secara bersahaja melakukan senaman ‘chin-up’ dengan bergayut pada tiang jambatan di sebuah lebuh raya di India, lapor stesen penyiaran NDTV.
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Nasional Delhi-Lucknow di negeri Uttar Pradesh semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @Benerasiyaa menunjukkan lelaki terbabit bergayut pada tiang jambatan, menyebabkan dia ‘tergantung’ di udara.
Dia kemudian melakukan senaman ‘chin-up’ tanpa menghiraukan kenderaan yang bergerak laju di bawah jambatan tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 40,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Polis tolong lelaki ini capai impiannya,” kata seorang netizen.
“Demi ‘content’ dan populariti,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














