fbpx
SALEH (dua dari kiri) bersama ahli keluarganya ketika ditemui di PPS SK Bukit Mentok, Kemaman semalam.

‘Sudah lali 60 tahun hadap banjir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Seorang warga emas dari Kampung Tanjung Maktat, di sini bagaikan sudah lali berdepan dengan bencana banjir saban tahun sejak lebih 60 tahun lalu.

Saleh Mohamad, 74, berkata, rumahnya akan dilimpahi air Su­ngai Kemaman ekoran pertembungan air sungai dari kawasan hulu dan fenomena air pasang besar setiap kali monsun timur laut (MTL).

“Biasanya saya dan isteri, Fauziah Awang, 66, dan anak-anak akan keluar masuk pusat pemindahan sementara (PPS) dua hingga lima kali berikutan banjir setiap kali musim tengkujuh.

“Dalam tempoh enam dekad ini, banjir paling buruk terlaku pada 1968, 2013 dan 2014,” kata­nya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Men­tok, di sini semalam.

Saleh berkata, banjir yang ber­laku pada 1968 paling tidak boleh dilupakannya kerana hampir semua rumah di perkampu­ngannya tenggelam hingga ke paras bumbung.

Bapa kepada 13 anak dan memiliki 32 cucu serta tiga cicit itu berkata, dia yang berumur 17 tahun ketika itu masih mengingati amukan air sungai yang berombak ganas membadai perkampu­ngan mereka.

“Pada waktu itu, kami terpak­sa mendayung perahu bagi menyelamatkan diri ke kawasan ting­gi,” katanya selain bersyukur ke­mudahan yang terdapat di PPS kini jauh lebih selesa berbanding dahulu.

Katanya, semua isi rumah kini diberi ruang privasi berupa khemah kubikel berbanding dahulu terpaksa tidur beramai-ramai di dalam bilik darjah dengan tikar yang dibawa sendiri.

“Dahulu dapur pun kena bawa sendiri sekarang semua disediakan, kebajikan dijaga sungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rokiah Abdullah, 60, pu­la terpaksa berpindah akibat banjir pada ulang tahun ke­lahiran­nya pada Khamis lalu.

“Saya pun sudah lali dengan banjir saban tahun tetapi kali ini agak ‘istimewa’, saya menyambut ulang tahun kelahiran dalam PPS,” katanya berseloroh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN