NAKHON PATHOM – Kejayaan skuad sepak takraw negara menjelmakan pingat emas pada hari terakhir temasya Sukan SEA Thailand 2025 disifatkan sebagai pelengkap paling sempurna buat kontinjen Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menjelaskan, kejayaan membanggakan tersebut bukan sahaja menjulang maruah sukan tradisi negara, malah melengkapkan emas ke-57 kontinjen negara di temasya dwitahunan itu.
“Hari ini kita menyaksikan satu penutup yang cukup mengembirakan negara Malaysia. Penutup yang amat-amat membanggakan. Pasukan sepak takraw kita telah pun berjaya memenangi emas terakhir.
“Ini satu pencapaian yang amat-amat membanggakan, amat hebat yang disumbangkan oleh pasukan Malaysia pada temasya kali ini,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi kontinjen Malaysia di bumi Thailand, Muhammad Taufiq menegaskan bahawa jumlah pingat yang diraih pada edisi kali ini membuktikan kemampuan atlet negara beraksi cukup cemerlang walaupun turun berjuang di gelanggang lawan.
“Pencapaian ini merangkumi keseluruhan pingat kita (231) yang merupakan antara yang terbanyak dalam sejarah (penyertaan Sukan SEA) di luar Kuala Lumpur sejak tahun 2007,” tambahnya lagi.














