JOHOR BAHRU – Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di daerah Mersing sejak Rabu lalu ditutup sepenuhnya hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Labong, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar ditutup secara rasmi pukul 12 tengah hari tadi.
Katanya, seramai 356 mangsa dari 93 keluarga telah dipindahkan ekoran banjir berlaku susulan cuaca hujan berterusan.
Menurutnya, kesemua mangsa adalah dari Kampung Baru Air Tawar, Kampung Hubong, Kampung Belukar Juling, Kampung Semaloi dan Kampung Orang Asli Labong.
“Pemantauan dan penilaian risiko daripada jabatan teknikal telah dilakukan di kawasan-kawasan perumahan penduduk terjejas. Alhamdulillah keseluruhan air dah mula surut dan keadaan cuaca cerah.
“Hasil daripada perbincangan dan penilaian kawasan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Mersing, Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing dengan persetujuan daripada Pengerusi Bencana Daerah telah memutuskan supaya kesemua PPS ditutup pukul 12 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














