KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas apabila sebuah banglo tiga tingkat dijadikan makmal haram memproses dadah diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pada Selasa lalu.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bersepadu yang dilancarkan berjaya menahan enam individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun.
Menurut beliau, serbuan pertama dijalankan di sekitar Cheras, membawa kepada penahanan kesemua suspek sebelum pemeriksaan lanjut di sebuah rumah menemui enam botol cecair disyaki mengandungi dadah jenis MDMA seberat kira-kira tiga kilogram (kg).
“Susulan tangkapan itu, pasukan JSJN melancarkan serbuan kedua di Taman Taynton View dan merampas serbuk putih disyaki dadah jenis kokain seberat 738 kg serta cecair kokain seberat 3,303 kg, selain pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya pda sidang akhbar kejayaan Op Gaharu hari ini.
Hussein berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah premis di kawasan perindustrian Sungai Chua yang dipercayai dijadikan makmal haram, dengan rampasan dadah jenis ketamin melibatkan serbuk seberat 3,024 kg dan cecair seberat 10,067 kg.
Tambahnya, serbuan keempat di sebuah banglo di Taman Industri Mega, Bandar Technology, membawa kepada rampasan terbesar membabitkan 28 guni putih mengandungi 1,400 bungkusan plastik kuning berisi serbuk disyaki ketamin dengan anggaran berat 1,402 kg.
“Secara keseluruhan, jumlah rampasan dadah melibatkan MDMA seberat tiga kg, kokain 4,041 kg dan ketamin 14,493 kg dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM1.53 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata, dadah yang dirampas itu mampu merosakkan kira-kira 68.5 juta penagih sekiranya berada di pasaran dan dipercayai untuk pasaran antarabangsa termasuk negara-negara Timur.
Menurut Hussein, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April lalu dan menggunakan rumah kediaman serta banglo mewah sebagai makmal haram bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai ketua penjaga stor dan pembantu ahli kimia, manakala suspek keempat dan keenam merupakan orang kepercayaannya yang menguruskan rumah serta premis yang dijadikan makmal dadah.
“Tiga wanita warga asing yang ditahan pula dipercayai teman wanita kepada suspek lelaki dan berperanan membantu operasi sindiket,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek tiga daripada mereka positif dadah antaranya ketamin dan methamphetamine.
“Seorang daripada kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 17 hingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan aset bernilai RM389,000 termasuk lima kenderaan dan dua forklift. – KOSMO! ONLINE














