fbpx
KISAH suka duka selebriti sering menjadi cermin kehidupan - Erra Fazira melangkah ke bab bahagia selepas lama sendiri, sementara Uqasha Senrose berdepan jalan sukar perpisahan. Dua wajah berbeza, tetapi sama-sama menggambarkan perjalanan hidup yang tidak statik.

‘Betullah yang fana adalah waktu, kita abadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI bunga yang layu memberi ruang kepada kuntum baharu mekar dengan harapan, apa yang telah berlalu usah diratap agar kembali. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah berpesan dalam lagunya, “Barang yang lepas hai jangan dikenang, kalau dikenang, meracun diri.”

Hidup sentiasa bergerak dalam tiga dimensi, masa lalu, masa kini dan masa hadapan, masing-masing dengan wajah berbeza, bahagia dan derita yang bersilih ganti tanpa janji kekal. Tahun 2025 menjadi saksi nyata kebahagiaan sang primadona tersohor, Erra Fazira. Setelah sebelas tahun hidup solo sebagai ibu tunggal, akhirnya dia menutup lembaran sunyi dengan perkahwinan baharu yang penuh pancawarna.

Senyuman di pelamin menjadi simbol bahawa luka lama tidak perlu terus dikenang. Seperti mentari yang terbenam memberi ruang kepada purnama mengambang menyinari malam, begitulah kehidupan, berganti bab, berganti wajah, berganti rasa. Apa yang hilang biarlah menjadi debu di ufuk senja, kerana setiap kehilangan sebenarnya adalah benih kekuatan yang tersembunyi.

Namun dari sisi kehidupan berbeza, kisah pelakon Uqasha Senrose memperlihatkan wajah sebaliknya. Baru empat tahun melayari bahtera rumah tangga, kini dia memasuki fasa berperang di mahkamah menuntut talak.

Jalan sukar memaksanya membongkar banyak aib rumah tangga, dakwaan tidak diberi cukup nafkah, harus bekerja kuat selepas berpantang, sehinggalah kekecewaan terhadap perkara yang dianggap kecil, namun melukakan jiwa, termasuk suami tidak merakam detik kebersamaan dengan anak. Segalanya menjadi ungkitan kecewa mendorong hasrat segera dilepaskan.

Dakwaan sebagai mangsa keganasan rumah tangga, disertai kesan lebam pada wajah pula menjadi senjata paling ampuh bagi menyakinkan mahkamah bahawa hubungannya dengan pelakon Kamal Adli telah berubah menjadi neraka dunia.

Hakikatnya, bahagia derita menyentuh kehidupan semua manusia, bezanya penderitaan orang biasa jarang diperdebatkan. Di luar sana, ramai yang menanggung sengsara tanpa saksi. Ibu tunggal yang bangkit sendirian, suami yang memendam tekanan demi terlihat kuat dan anak-anak membesar di celah retak emosi orang dewasa.

Ketika kalendar 2025 kian menutup tirai dan 2026 bakal membuka lembaran baharu, setiap insan sebenarnya berdiri di persimpangan sama, membawa sisa luka, harapan, keinsafan dan doa. Tahun berganti bukan sekadar angka, tetapi peluang melepaskan beban lama, menyusun semula jiwa dan memaafkan diri sendiri.

Pada akhirnya, sama ada hidup berlimpah populariti atau dalam gelap sunyi tanpa perhatian, bahagia dan derita tetap bersifat sementara.

Seperti kata penyair terkenal Indonesia, Sapardi Djoko Damono, ‘yang fana adalah waktu, kita abadi, memungut detik demi detik, merangkainya seperti bunga, sampai pada suatu hari, kita lupa untuk apa…’

Begitulah waktu berlalu, yang kekal hanyalah pilihan kita untuk bangkit, belajar dan meneruskan hidup dengan hati lebih tenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN