fbpx
TANG JIE (kiri) dan Ee Wei terpaksa akur dengan kehebatan Yan Zhe-Dong Ping apabila tewas 18-21, 24-26 hari ini. - AFP

WTF2025: Tang Jie akui kesilapan punca kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Walaupun tempat di separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 sudah terjamin, namun beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tetap mahu memenangi aksi terakhir Kumpulan B.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila terpaksa akur kekalahan straight set 18-21, 24-26 kepada gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Pada perlawanan di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, China hari ini, pasangan juara dunia itu sudah memberikan tentangan sengit, namun tuah tidak memihak kepada mereka untuk bergelar juara kumpulan.

Tang Jie tanpa berselindung mengakui, banyak kesilapan mudah yang dilakukan di penghujung set kedua sehingga membolehkan gandingan China itu menggunakan kesempatan untuk mengutip mata penting.

“Saya rasa banyak kesilapan yang tidak perlu daripada saya, terutamanya ketika menerima servis dan pukulan terakhir. Saya rasa perlu bermain seperti biasa kerana ketika itu kami sedang mendahului.

“Mereka sangat bagus ketika melakukan pukulan serta menerima servis. Seperti yang saya cakap, mereka memiliki teknik permainan cukup baik selain kombinasi sangat baik di atas gelanggang,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Biarpun tewas, namun Tang Jie-Ee Wei sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir kerana sudah mencatat dua kemenangan sebelum ini ke atas Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia serta rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Sementara itu, Tang Jie turut menegaskan, dia langsung tidak memikirkan mengenai mereka sudah pun layak ke separuh akhir kerana sentiasa masuk ke gelanggang dengan objektif mencatat kemenangan.

“Kami tidak memikirkannya (sudah layak) walaupun sudah menang dua perlawanan awal kerana kami tidak mengira mata. Setiap kali bertanding, kami sentiasa mahu menang dan ia dibuktikan dengan aksi hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN