KUALA LUMPUR – Menangis tanpa henti disyaki menjadi punca seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipukul anak pengasuh sehingga lebam dalam kejadian di Batu Muda, di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keadaan itu menyebabkan suspek berusia 18 tahun berasa terganggu ketika berehat di rumah.
“Suspek ditahan semalam dan dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, mangsa yang cedera di mata dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sebelum ini, media melaporkan kejadian pada pukul 4.30 petang itu disedari selepas ibu mangsa mengambil anaknya di rumah pengasuh dan mendapati mata kiri kanak-kanak itu cedera dan lebam.
Ibu bapa mangsa kemudian membawa kanak-kanak itu ke HKL untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














