fbpx
PEARLY (kanan) dan Thinaah kempunan untuk mencatat kemenangan bersih dalam aksi peringkat kumpulan pada WTF2025. - AFP

WTF2025: Rekod bersih Pearly-Thinaah tercalar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Aksi tanpa kalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dalam saingan Kumpulan A pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China akhirnya lebur.

Ia berikutan kekalahan tiga set 15-21, 21-16, 19-21 yang dialami naib juara dunia itu kepada pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sebentar tadi.

Walaupun terikat dua kemenangan dengan Matsumoto-Fukushima serta beregu tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, namun Pearly-Thinaah tetap bergelar juara kumpulan menerusi kelebihan set permainan.

Pada perlawanan tersebut, pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 itu tersentak dengan kekalahan awal sebelum bangkit di set kedua bagi mengheret Matsumoto-Fukushima ke aksi penentuan.

Set ketiga berlangsung dalam keadaan cukup sengit apabila kedua-dua pasukan saling bertukar servis sehingga ke penghujung perlawanan sebelum gandingan Jepun itu memastikan kemenangan dalam tempoh 81 minit.

Meskipun aksi Kumpulan A sudah tamat, namun Pearly-Thinaah perlu menunggu undian semula malam ini bagi mengetahui siapakah lawan mereka di pentas separuh akhir yang dijadualkan berlangsung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN