KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menamatkan aksi peringkat Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China sebagai naib juara.
Ia berikutan kekalahan 18-21, 24-26 dialami gandingan juara dunia itu kepada beregu tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sebentar tadi.
Berdepan pasangan No.1 dunia, Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan ketiga kejohanan memberikan tentangan sengit kepada Yan Zhe-Dong Ping, namun tuah tidak menyebelahi mereka untuk melakar kemenangan.
Bagaimanapun, aksi dipamerkan pasangan No.1 negara itu wajar diberikan pujian, terutamanya apabila mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan 4-11 di set kedua sehingga mengheret permainan ke penentuan deuce.
Biarpun tewas, namun Tang Jie-Ee Wei sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir kerana sudah mencatat dua kemenangan sebelum ini ke atas Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia serta rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei pada kejohanan penutup kalendar itu adalah ketika edisi tahun lalu di mana mereka berjaya melangkah ke final sebelum tewas kepada jaguh China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong. – KOSMO! ONLINE














