fbpx
TIDAK sampai setahun ditubuhkan, kumpulan jejaka ‘jambu’ Alpha yang meledak dengan P. Ramlee Saloma melakar sejarah indah apabila mendapat peluang menimba ilmu di Korea Selatan.

Alpha tidak sekadar acah-acah K-pop

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USIA kumpulan Alpha yang ditubuhkan lewat program Big Stage Alpha tidak sampai setahun, namun kemajuan dan pencapaian mereka cukup melaju.

Dianggotai tujuh anak muda, Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Ray-D, Araff dan Afiq Sky, Alpha yang dilihat sebagai kumpulan M-pop paling menonjol ketika ini.

Bahkan lagu P. Ramlee Saloma dendangan mereka mendapat 10 juta strim dalam aplikasi Spotify. Selain itu, Alpha turut mencuri perhatian apabila diberi peluang eksklusif menjalani latihan intensif selama tiga minggu di Korea Selatan.

Meski ada yang berbangga dengan pencapaian Alpha, ada juga segelintir pihak yang sewenang-wenangnya melabel mereka ‘acah-acah K-pop’.

Mereka bagaimanapun memilih untuk melihat perkara tersebut daripada sudut positif dan menimba ilmu di sana selain tidak langsung mengubah identiti sebagai kumpulan M-pop.

Menurut Araff, pengalaman di Korea Selatan selama tiga minggu sangat berharga.

“Kami sedar ada yang kata kami acah-acah K-pop sebab pergi ke Korea Selatan. Tetapi bagi kami, peluang yang diberikan adalah sekali seumur hidup dan itu adalah rezeki kami belajar, bukan untuk meniru.

“Apa yang dipelajari di sana kami bawa balik dan sesuaikan dengan cara kami. Kami tetap kumpulan M-pop, menyanyi dalam bahasa sendiri dan membawa budaya Malaysia,” tutur Daniel Sher selaku ketua kumpulan.

Menurut Alpha, dalam mana-mana industri, peluang menimba ilmu wajar dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kalau ada peluang belajar daripada industri yang lebih maju, kita patut ambil. Tambahan, Korea Selatan memang terkenal dengan industri muzik mereka dan ‘boy group’. Tapi akhirnya kami mahu orang kenal Alpha sebagai kumpulan dari Malaysia,” ujar Daniel lagi.

Meledak dengan single perdana, P Ramlee Saloma, Alpha menjalani latihan intensif selama tiga minggu di Korea Selatan.

Menyanyi dalam suhu -1

Bercerita lanjut tentang pengalaman tiga minggu menjalani latihan di Korea Selatan, kata Alpha, jadual mereka cukup padat dengan pelbagai kelas latihan antaranya, vokal, tarian dan persembahan berkumpulan.

“Sepanjang di Korea memang banyak kelas yang kami ikuti dan banyak ilmu yang diperolehi. Sebenarnya tiga minggu itu terlalu pendek, tetapi dengan waktu yang diberikan banyak perubahan positif dapat dirasakan sebagai sebuah kumpulan,” luah Araff.

Antara perkara paling ditekankan sepanjang latihan adalah sinkronisasi – sesuatu yang dianggap nadi utama kekuatan sesebuah ‘boy group’.

Kendatipun, Alpha tidak berada pada posisi mendedahkan sepenuhnya butiran kerana latihan di Korea Selatan bakal dipaparkan dalam sebuah program televisyen.

IZAT memasang impian untuk melihat Alpha menjadi gah seperti KRU suatu hari nanti.

“Di Korea Selatan, mereka sangat fokus pada butiran yang kecil, memang berbeza dengan di Malaysia. Contohnya, nak letak tangan di mana, posisi ketika berdepan dengan media. Mereka bukan sekadar ajar teori sahaja, tetapi juga praktikal.

“Tiga minggu memang agak ‘packed’. Ada benda yang mungkin tidak sempat hendak belajar, tapi ilmu yang kami kutip di sana sangat bernilai. Kami bersyukur dengan peluang ini,” kata Izat seraya memaklumkan peminat boleh menantikan pendedahan lanjut menerusi Alpha Dreams Unlocked: Seoul Chapter yang akan disiarkan di Astro Ria.

Dalam pada itu, Alpha turut mengakui cabaran terbesar sepanjang di sana adalah dari segi komunikasi kerana perbezaan bahasa.

Malah, mereka turut mencipta kenangan tersendiri apabila membuat persembahan jalanan di Korea pada hari-hari terakhir latihan.

“Kami ingin rasa sendiri bagaimana menyanyi di negara orang, depan penonton yang bukan orang Malaysia. Ramai tertanya-tanya, siapa kami, tetapi ada pelajar dari Malaysia, Singapura dan Brunei yang kenal kami, secara tidak langsung mereka tolong promosikan Alpha di sana.

KETIKA di Korea Selatan, ramai tertanya-tanya, siapa Alpha tetapi tidak sangka mereka dikenali oleh ramai pelajar dari Malaysia, Brunei dan Singapura.

Harapan

“Momen yang tidak boleh dilupakan adalah menyanyi di jalanan pada suhu -1 darjah Celsius. Tidak pernah lagi kami menyanyi dalam cuaca sejuk sebegitu. Selain latihan kami juga ada bawa pulang ‘hadiah’ (karya baharu) buat peminat, nantikan. Apapun, itu semua kenangan yang manis buat kami,” ujar Afiq.

Sekembalinya dari Korea Selatan, mereka mengakui tekanan semakin tinggi dengan harapan daripada peminat.

“Orang mesti jangka kami lebih baik selepas balik dari Korea. Tapi kami ambil sebanyak mungkin ilmu dan akan buktikan usaha kami tidak sia-sia.

“Kami sendiri merasai perubahan ketika membuat persembahan. Insya-Allah, kami akan menjadi lebih baik mengikut peredaran waktu,” tutur Rizal yang menyimpan impian Alpha menjadi seperti KRU.

Sementara itu, pada usia yang masih muda, Alpha mengakui mereka hanya mengikut apa yang dirancang oleh syarikat pengurusan termasuk lagu.

SEBAGAI ketua kumpulan, Daniel secara peribadi berbangga dengan pencapaian Alpha yang mampu mengangkat lagu dan budaya Melayu setiap kali beraksi di atas pentas dalam dan luar negara.

Tetapi dengan latar belakang yang berbeza dan pengalaman yang dimiliki, mereka yakin tidak mustahil pada masa depan mereka akan mencipta lagu sendiri sementelah Daniel juga seorang ‘music arranger’.

Terbaharu, Alpha akan membuat penampilan sulung di Singapura menerusi acara Celebfest Amplified: Alpha Fan Meet pada 20 Disember ini.

Lebih menarik, Alpha mencipta sejarah apabila diumum sebagai artis pertama dipilih untuk membuka tirai acara tersebut.

“Tidak sangka kami akan mengadakan Fan Meet sampai ke Singapura. Sangat teruja untuk bertemu peminat di sana,” ujar Izat.

Sebelum menutup bicara dengan populariti yang meningkat naik, Alpha bersyukur mereka menerima sokongan daripada peminat meski ada yang bersikap terlalu obses.

“Tanpa peminat siapalah kami. Mereka banyak bantu promosikan kami di media sosial. Setakat ini, tiada insiden keterlaluan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN