DOHA – Paris Saint-Germain (PSG) melakar sejarah tersendiri apabila merangkul trofi keenam sepanjang 2025 selepas menewaskan Flamengo pada perlawanan akhir Piala Intercontinental awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ahmad bin Ali, PSG selaku pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) membenam Flamengo 2-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Penjaga gol PSG, Matvei Safonov menjadi wira pasukan itu apabila berjaya menyelamatkan empat sepakan penalti pemain Flamengo bagi memastikan mereka membawa pulang trofi keenam pada tahun ini.
Jurulatih PSG, Luis Enrique menyuarakan rasa bangga dan gembira atas kejayaan tersebut selain memuji barisan pemainnya kerana dapat mengekang asakan dilakukan Flamengo sepanjang perlawanan itu.
“Enam trofi merupakan satu pencapaian yang sangat baik. Hari ini (semalam) kita disajikan dengan satu perlawanan yang cukup menarik, Flamengo juga sudah memberikan segala-galanya sepanjang saingan.
“Ia bukanlah satu perlawanan yang mudah tetapi pemain-pemain menunjukkan kekuatan mental serta semangat untuk menang. Saya sangat gembira untuk mengemudi pasukan ini menentang satu pasukan hebat,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, PSG terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Khvicha Kvaratskhelia di minit ke-38 sebelum Flamengo kembali menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Jorginho.
“Ini merupakan final yang sangat penting dan sukar tetapi kami berjaya melaksanakan tugas dengan baik. Kami juga sangat bernasib baik kerana memiliki Safonov yang beraksi cukup cemerlang,” ujar pemain tengah PSG, Vitinha. – AGENSI














