Sukan SEA Thailand yang sedang bertemasya ini bukan sekadar menghidangkan aksi sukan dan kejayaan atlet tetapi juga menyingkap kisah kekeluargaan yang menyentuh perasaan.
Bagaikan ada yang menghiris bawang, rakyat Malaysia di kaca televisyen sebak menyaksikan sokongan dan kasih sayang yang dipamerkan daripada insan-insan bergelar abang buat adik tersayang.
Atlet boling negara, Muhammad Syazirol Shamsudin dan atlet muay thai, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar mempunyai persamaan. Kedua-duanya meraih emas dengan air mata bersama sosok seorang abang di sisi. Kita biasa melihat atlet yang menang diraikan ibu, bapa mahupun kawan-kawan, tetapi untuk seorang abang, suatu yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Kisah pertama, Muhammad Syazirol yang meraih emas pada Selasa lalu menerusi acara boling berpasangan lelaki bersama Muhammad Rafiq Ismail. Gandingan itu menewaskan pasangan Thailand, Lapasdanai Chusaeng-Vilinkorn Kledkaew 470-435 pada aksi final.
Kejayaan Muhammad Syazirol disaksikan abangnya, Syafirul yang datang seorang diri ke Bangkok untuk memberi sokongan kepada si adik. Menerusi temu bual di televisyen, Muhammad Syazirol mengakui kasih sayang abangnya sebagai faktor utama yang membawa kemenangannya.
Berhasrat menghadiahkan pingat emas pada acara perseorangan sempena hari lahir abangnya beberapa hari lalu, namun sekadar menuai gangsa, impiannya akhirnya tercapai dalam acara beregu.
Ditanya tentang sejauh mana keakraban mereka, Syafirul dalam nada sebak berkata, mereka cuma dua beradik dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang hidup susah di sebuah kampung di Kedah.
“Emak dan ayah saya penoreh getah. Jadi, kami banyak berkorban untuk adik. Sebagaimana kita tahu, sukan boling ini sukan yang memerlukan perbelanjaan sangat tinggi untuk terus kekal dalam dunia kompetitif ini.
“Alhamdulillah dengan sokongan komuniti boling sendiri, MSN Kedah dan sebagainya, segalanya dapat direalisasikan. Saya sebagai peminat boling dan abang kepadanya berasa bangga dengan kejayaan adik,” katanya dengan mata bergenang.
Muhammad Syazirol pula berkata, abangnya sentiasa ada memberi sokongan kepadanya.
“Abang ada di mana-mana jua saya pergi, kalau tidak ada pun kami pasti berhubung, dia akan beri kata semangat dan saya mengadu masalah kepadanya. Alhamdulillah saya ada abang saya seorang ini,” ungkapnya.
Kisah kedua pula Mikail Ghazali. Selepas diumumkan menang ke atas atlet tuan rumah, Sirilun Suphakon sekali gus meraih emas, Mikail yang baru berusia 16 tahun itu kelihatan berguguran air mata. Dia yang menangis teresak-esak lantas didatangi abangnya, Muhammad Johan Ghazali atau Jojo yang mendakapnya.
Jojo hadir memberikan sokongan kepada adiknya, Miki di Stadium Tinju Lumpinee pada Sukan SEA yang bertanding dalam saingan muay thai kategori 57 kilogram. Penonton yang menyaksikannya di kaca televisyen berasa terharu melihat sokongan yang diberikan Jojo kepada adiknya.
Inilah antara secebis kisah tentang betapa di belakang kejayaan seorang adik juga ada abang yang setia menjadi pembakar semangat dan dorongan kemenangan.














