PETALING JAYA – Gelagat sekumpulan kanak-kanak yang bermain di kawasan permainan yang dinaiki air banjir di perumahan Indera Sempurna 2, Kuantan, Pahang, semalam mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh @cikya33, kanak-kanak berkenaan dilihat berseronok bermain air banjir sambil diperhatikan penduduk sekitar yang berada di kawasan berhampiran.
“Terhad ada waktu musim banjir sahaja, taman tema air di Perumahan Indera Sempurna 2, Kuantan. Masuk percuma,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai yang rata-rata turut terhibur dengan gelagat kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang bermain air.
“Layan sajalah masa mereka budak-budak. Nanti sudah besar tidak merasa dah main air banjir macam ni,” seloroh Mira.
“Budak-budak ni, bila suruh mandi bukan main liat lagi. Bila main air macam ni bukan main laju saja, tidak perlu disuruh,” kata @kakaksinga11
“Amboi, sudah macam taman tema air dah, bukan main seronok lagi ya. Ibu bapa pun masing-masing layan saja kerenah anak-anak,” komen Maira Nin. – KOSMO! ONLINE














