fbpx
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam kerana membunuh isterinya baru-baru ini. FOTO DANIAL SAAD/KOSMO!

[VIDEO] Lelaki simpan mayat isteri dituduh membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Seorang penganggur yang bertindak membunuh dan menyimpan mayat isterinya selama empat hari dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini bagi menghadapi pertuduhan yang dilakukannya itu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Khairul Rizuan Abdullah,28, selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Terdahulu, dia yang tiba di mahkamah dalam keadaan tangan bergari dengan diiringi anggota polis dilihat bersahaja tanpa menunjukkan wajah emosi atau gelisah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membunuh Wan Khairul Safinah Ishak,44, di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, kira-kira pukul 4 petang, 8 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun
dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Anis Suhada tidak menawarkan jaminan selain memohon tarikh sebutan untuk laporan kimia dan bedah siasat.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada Khamis minggu lalu, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh isterinya dan menyimpan mayat wanita itu selama empat hari sebelum tampil ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI