PETALING JAYA – Seorang usahawan kosmetik yang juga Instafamous jelita yang dikenali sebagai Amyera didenda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan memiliki produk kosmetik yang tidak bernotifikasi Kementerian Kesihatan (KKM) dua tahun lalu.
Majistret M.Barath menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Fatin Amiera Zainal Abidin, 32, yang mewakili Syarikat Amyera Beauty mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang disabitkan.
Mahkamah turut memerintahkan Fatin Amiera selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara lagi tujuh bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan OKS membayarnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima OKS didakwa telah memiliki pelbagai jenis barangan kosmetik yang tidak bernotifikasi antaranya Amyera Beauty My Secret Cleanser, Night Cream, Flawless Booster Cream dan Flawless Acne And White Cream.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan premis miliknya di Amyera Beauty Resorces di Neo Damansara, Bandar Damansara Perdana di sini pada 19 Februari 2019.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan-peraturan 18A(1) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah Kosmetik 1984 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 18A(15) peraturan sama yang memperuntukkan denda maksimum RM25,000.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Mohd. Syahnizam Mohd. Kassim dari Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) KKM memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Bagaimanapun Fatin Amiera yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum.
“Saya sudah tidak menjual produk itu lagi dan ketika serbuan dibuat semua produk itu berada dalam kotak. Sebenarnya semua produk itu sudah didaftarkan dibawah KKM namun selepas tamat tarikh luput saya tidak memperbaharuinya. Memang silap saya simpan semua produk itu dalam kotak, ” katanya. – K! ONLINE