PETALING JAYA – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencipta sejarah baharu apabila menjadi fasiliti kesihatan swasta pertama di Malaysia memperkenalkan pengimbas CT pengiraan foton.
Teknologi generasi baharu itu bukan sekadar menambah kecanggihan dalam dunia diagnostik, malah menetapkan penanda aras baharu dari segi ketepatan, keselamatan radiasi dan keselesaan pesakit.
Malah peralatan canggih itu turut menawarkan resolusi ultra tinggi untuk pelbagai disiplin klinikal, termasuk kardiologi, neurologi, onkologi, muskuloskeletal, pediatrik dan pulmonologi.
Sekali gus dengan kemudahan canggih dan teknologi tinggi itu dapat mengukuhkan kedudukan SMC dalam kelompok institusi perubatan paling inovatif di rantau ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, teknologi tersebut membawa rangkaian manfaat klinikal yang mampu meningkatkan kualiti penjagaan pesakit secara langsung.
Beliau berkata, antara kelebihan ketara peralatan itu termasuk keupayaan mengesan lesi halus dan ketidaknormalan pada peringkat lebih awal, selain memberikan perbezaan yang lebih jelas antara tisu sihat dan tisu berpenyakit.
“Ia turut menawarkan imej lebih tajam walaupun bagi pesakit yang mempunyai implan logam.
“Pengimbas generasi baharu itu juga mengurangkan keperluan penggunaan bahan kontras, sekali gus lebih selamat untuk pesakit yang mempunyai sensitiviti tertentu atau masalah berkaitan fungsi buah pinggang.
“Pada masa sama, pendedahan radiasi sehingga 50 peratus lebih rendah menjadikan proses imbasan lebih selamat untuk kanak-kanak, pesakit kronik dan mereka yang memerlukan pemeriksaan berulang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Pengimbas CT Pengiraan Foton Pertama Malaysia di Bandar Sunway yang turut dihadiri Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dan Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, dengan kelebihan yang ada pada SMC, ia turut memberi nilai tambah kepada keputusan klinikal.
Selain itu katanya, ia meningkatkan tahap kepastian diagnostik serta memastikan laluan rawatan yang lebih tepat.
Berbeza dengan sistem konvensional, CT pengiraan foton membawa revolusi baharu dan kemajuan ketara dalam cara pakar perubatan memvisualisasikan dan memahami tubuh manusia.
Alat ini dapat mengesan dan mengukur setiap foton X-ray secara individu, menghasilkan imej yang lebih tajam, jelas dan terperinci.
Sistem ini juga membolehkan pakar klinikal mengesan variasi tisu halus, lesi kecil dan menilai struktur organ dengan ketepatan luar biasa, sambil mengurangkan dos radiasi yang diterima.
Hasilnya, imbasan yang lebih selamat, cepat serta lebih selesa untuk semua pesakit, termasuk untuk kanak-kanak dan warga emas dan mereka yang memerlukan pemeriksaan berulang.
Sementara itu, Beng Long berkata, pengenalan teknologi itu seiring misi Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway untuk memberikan tahap penjagaan tertinggi berasaskan inovasi dan kecemerlangan klinikal.
“Teknologi tersebut bukan sahaja memudahkan doktor membuat keputusan rawatan dengan lebih yakin, malah meningkatkan pengalaman pesakit melalui hasil imbasan berkualiti tinggi serta proses yang lebih selesa,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan itu juga mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan standard penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada pesakit.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Kanan Radiologi Intervensi SMC, Dr Adam Pany Abdullah berkata, teknologi baharu itu benar-benar mengubah pendekatan rawatan.
“CT pengiraan foton secara asasnya mengubah apa yang kita dapat lihat dan cara kita merawat pesakit. Dengan resolusi ultra-tinggi, kami dapat mengesan lesi kecil dan perubahan halus dengan jelas.
“Imbasan yang cepat pada dos rendah bermakna pemeriksaan yang lebih selamat serta selesa, termasuk untuk kanak-kanak dan warga emas. Bagi doktor, ia meningkatkan aliran kerja dan keyakinan diagnostik,” ujarnya.
Sistem berkenaan turut disokong teknologi pengimejan spektrum canggih, kecerdasan buatan myExam Companion dan GO Technologies, bagi memastikan hasil imbasan konsisten dan berkualiti tinggi.
Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa.
Hospital itu tersenarai dalam 350 Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026, diiktiraf sebagai Hospital Nombor 1 Malaysia 2025, serta berada dalam senarai 250 Hospital Terbaik Dunia 2024 dan 2025 oleh Newsweek.
No. Siri Kelulusan: KKLIU 3566/ EXP 31.12.2027.














