BANGKOK – Kapten sepak takraw negara, Farhan Adam menyifatkan kejayaan menamatkan kemarau panjang 34 tahun pingat emas regu berpasukan di Sukan SEA 2025 sebagai detik paling bermakna dalam kariernya.
Farhan yang menyarung jersi kebangsaan sejak 2007 telah memenangi pelbagai kejuaraan, namun apit kiri berpengalaman itu belum pernah mengecapi nikmat juara acara berpasukan yang selama ini didominasi oleh Thailand.
Menurutnya, pingat emas itu adalah satu-satunya koleksi belum pernah dimilikinya sebelum ini dan kejayaan menamatkan dominasi Gajah Perang di bumi Bangkok menjadikan kemenangan itu sangat manis.
“Apa yang boleh saya katakan adalah usaha tanpa henti pasukan akhirnya membuahkan hasil dan kita mengatasi Thailand. Malaysia menurunkan barisan regu terbaik dan kita mengatasi Thailand dengan taktikal serta cara tersendiri,” ujarnya.
Misi utama skuad negara di Bangkok kali ini bukan sekadar memburu kemenangan, tetapi mahu memadam sejarah hitam kegagalan Malaysia acara regu berpasukan sejak kali terakhir memenanginya pada edisi Manila 1991.
“Kami datang dengan tekad nak pecahkan rekod, kali terakhir Malaysia menang adalah pada 1991. Jadi hari ini kami sudah pecahkan rekod itu, penantian selama 34 tahun bernoktah,” ujarnya.
Farhan juga memuji komitmen rakan sepasukan yang memberikan persembahan luar biasa demi memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di gelanggang keramat Thailand.
“Kami telah berikan persembahan terbaik. Kami bergerak sebagai satu pasukan yang berusaha keras untuk mendapatkan kemenangan untuk Malaysia dan inilah emas yang diidam-idamkan oleh semua,” katanya.
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menuntut pemain negara segera mengalihkan tumpuan memburu pingat dalam baki acara yang dipertandingkan.
“Ini baru permulaan, masih ada tiga acara, kuadran campuran, kuadran dan regu. Insya-Allah kita doakan agar misi memburu emas dapat diteruskan,” ujarnya.














