PETALING JAYA – Seorang wanita tidak dapat menanggung kesedihan selepas suami yang dinikahinya sejak sebulan lalu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dekat sini pada 8 Disember lalu.
Rashidah Shahira Shamsuddin, 24, berkata, pada hari kejadian arwah suaminya, Muhammad Harish Aiman Mat Zahid, 25, yang bekerja sebagai penghantar barangan baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Arwah baru habis kerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal sebelum dilanggar sebuah kereta.
“Selepas kemalangan, arwah tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan. Doktor sahkan arwah mengalami pendarahan otak sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar 7.11 pagi, 9 Disember,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Rashidah berkata, 30 minit sebelum kemalangan, arwah suaminya sempat menghubungi dan memaklumkan dia dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Tak sangka itu panggilan terakhir daripada suami dan lokasi kemalangan juga sekitar tiga hingga lima minit sahaja dari rumah. Ketika dapat berita arwah kemalangan, saya sangat terkejut.
“Tapi bila lihat keadaan arwah bertarung nyawa di hospital, saya cuba reda dan rela dengan pemergiannya kerana tidak mahu sakitnya berlanjutan,” katanya.

Berkongsi cerita, Rashidah berkata, dia dan suami bernikah pada 7 November 2025, manakala majlis persandingan diadakan keesokan harinya di Pahang dan kini mereka tinggal di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
“Ikutkan Sabtu lepas adalah majlis bertandang saya ke sebelah suami. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Majlis tersebut dibatalkan dan saya dan keluarga mentua hanya berada di rumah dekat Cheras kerana ada yang datang ziarah.
“Hantaran yang kami sediakan pada hari pernikahan pun belum sempat dibuka. Cadangnya nak buka sama-sama selepas majlis bertandang. Saya akan jadikan hari ijab kabul kami pada 7 November 2025 sebagai satu kenangan paling manis, saat saya sah menjadi isteri beliau,” katanya.
Rashidah turut memaklumkan, arwah seorang yang sentiasa ceria dan suka bercerita membuatkan orang disekelilingnya berasa selesa.
Jenazah Muhammad Harish Aiman telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara pada 9 Disember lalu.
“Setakat ini, kami menyerahkan semua urusan kepada polis untuk siasatan lanjut. Sahabat arwah juga ada bantu kami dapatkan rakaman dashcam (kamera papan pemuka) yang memaparkan kejadian. Namun sehingga kini pemandu kereta terlibat masih belum tampil.
“Kami juga mohon mana-mana saksi kejadian boleh tampil bagi keterangan kepada polis dan jika yang mempunyai rakaman dashcam yang lebih jelas boleh kongsikan juga untuk bantu siasatan,” jelasnya.














