IPOH – Seorang wanita buntu apabila terpaksa menanggung bil elektrik berjumlah RM1.2 juta selepas premis miliknya yang disewakan kepada individu lain digunakan untuk aktiviti perlombongan haram bitcoin.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yuan, 43, berkata, dia menyewakan premis perniagaan dua tingkat itu kepada seorang lelaki dengan kadar RM700 sebulan.
“Dia (penyewa) beri alasan mahu sewa premis untuk meletakkan stok barangan perniagaannya, jadi saya tidak mengesyaki apa-apa.
“Pada mulanya, saya mula curiga apabila ada beberapa individu membawa wayar penyambungan bekalan elektrik bersaiz besar tetapi disebabkan sibuk mengurus perniagaan salun rambut, saya tidak mengambil serius perkara itu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurut Yuan, dia hanya menyedari kegiatan haram tersebut selepas menerima tuntutan bil elektrik berjumlah RM1.2 juta daripada syarikat utiliti.
Jumlah RM1.2 juta itu adalah penggunaan selama enam bulan atau secara purata RM200,000 sebulan.
“Saya mahu mendapatkan penjelasan daripada penyewa terbabit, malangnya dia menghilangkan diri dan meninggalkan premis dalam keadaan terbiar.
“Saya cuba menghubunginya melalui panggilan telefon, tetapi menemui jalan buntu kerana dia menukar nombor telefon, malah alamat yang diberikan juga adalah palsu,” katanya.
Jelas Yuan, selain berdepan tuntutan bil utiliti yang tidak masuk akal, dia turut mengalami kerugian puluhan ribu ringgit disebabkan kerosakan pada premis tersebut selepas dua kali diserbu pihak berkuasa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yee dan ADUN Astaka, Jason Ng memaklumkan, ramai pemilik premis dan kediaman tampil membuat aduan kepada pihak mereka selepas menjadi mangsa perlombongan haram bitcoin.
Menurut mereka, pemilik premis menerima tuntutan bil masing-masing berjumlah RM30,000 sehingga RM1.2 juta kerana penyewa terlibat dalam aktiviti perlombongan mata wang digital tersebut.
Kebanyakan suspek melakukan penyambungan elektrik secara haram sehingga menyebabkan pemilik premis terpaksa menanggung kerugian.














