BANGKOK – Kejutan meraih pingat emas Sukan SEA 2025 menjadi lonjakan semangat buat atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata untuk mengintai peluang beraksi di pentas lebih tinggi iaitu Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
Atlet berusia 24 tahun itu enggan terlalu selesa dengan kemenangan tersebut apabila mengakui perlu meningkatkan jarak lontarannya mencecah sekurang-kurangnya 17 meter (m) jika mahu memberi saingan kompetitif di kedua-dua temasya besar berkenaan.
Nani yang mencipta sensasi melakukan lontaran emas sejauh 16.36m di Stadium Nasional Suphachalasai kelmarin berkata, pencapaian itu membuktikan dia mampu bangkit selepas mengharungi musim yang suram tahun ini.
“Saya ada hasrat nak pergi lebih jauh dan capai tahap paling tinggi. Sukan Asia adalah saingan paling sengit kerana rata-rata yang berada di sana mereka hebat-hebat.
“Untuk lepas ke Komanwel pula, sekurang-kurangnya saya kena buat catatan 17m,” katanya yang juga penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM).
Terdahulu, Nani tidak dapat menahan air mata sejurus meraih emas kerana menyifatkannya sebagai ‘kemenangan mengejut’ kerana dia sering tewas dalam beberapa pertandingan utama sebelum ini termasuk Sukan Universiti Dunia (Universiade) dan Kejohanan Asia.
Catatan 16.36m itu turut memadam rekod kebangsaan yang diciptanya, 15.70m pada Grand Final Varsity Track & Field di Kuala Terengganu tahun lalu.
“Tahun ini saya banyak kalah dan sangat kecewa. Orang tidak letak sasaran emas pada saya, jadi saya turun ke Bangkok tiada tekanan.
“Saya tak kisah dengan komen netizen yang mengkritik fizikal saya atau kata saya lembab. Saya dah rasa segala kekalahan dan kesakitan, jadi kejayaan ini pengajaran bermakna untuk saya buat lebih baik musim depan,” katanya.
Kejayaan di Bangkok ini memperbaiki pencapaian pingat gangsa diraihnya pada edisi Sukan SEA Kemboja, dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














