fbpx
RUANG ini dihiasi seperti sebuah ruang tamu pada zaman dahulu.

Deko cetus nostalgia kampung Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERJALAN masuk ke ruang ini serta-merta menerbitkan rasa nostalgia, seolah-olah masa perlahan dan kenangan lama kembali menghampiri. 

Dinding kelabu bertekstur kasar mencipta suasana tenang, sementara perabot kayu klasik dengan kusyen belang menyerlahkan sentuhan retro. 

Deretan barang vintaj pula seakan menyimpan kisah tersendiri. Terdapat televisyen kotak lama yang berdiri megah, radio antik, kipas besi klasik, rak rotan, dan kotak Coca-Cola yang lusuh, namun penuh karakter. 

Begitulah aura yang lahir daripada tata hias Kedai Kopi Maneh di Shah Alam, Selangor. 

Menurut pemiliknya, Malek Ahmad, konsep keseluruhan kedai tersebut adalah simple vintage Melayu dengan menggabungkan suasana lama yang ringkas tetapi mempunyai identiti.

“Suasana yang diketengahkan bukan kopitiam moden dan kedai hipster, sebaliknya lebih kepada gaya retro kampung yang berunsur nostalgia tetapi tetap minimal serta tidak serabut. 

“Saya memilih untuk tidak menghias ruang secara berlebihan agar pelanggan dapat menikmati suasana yang tenang dan selesa, serta tidak rasa seperti berada di dalam muzium penuh barang,” katanya kepada Cita Rasa.

Kedai yang mula beroperasi pada tahun lalu itu sebenarnya siap lebih awal, namun pembukaannya ditangguhkan kerana pemilik ingin menyiapkan dekorasi dengan teliti. 

PEMILIK Kedai Kopi Maneh, Shah Alam, Selangor ini mengumpul barang lama dari beberapa lokasi untuk membangkitkan nostalgia Melayu.

Malik dan isterinya meluangkan masa mengumpul barang lama melalui perjalanan ke Perlis, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain untuk mencari perabot serta dekorasi yang benar-benar membawa nostalgia Melayu. 

Proses tersebut melibatkan aktiviti drifting (mencari, mengumpul, atau membeli barangan antik) dari satu tempat ke tempat lain bagi mendapatkan item yang asli dan mempunyai karakter.

Walaupun banyak barang lama ditemui sewaktu  drifting, namun tidak semuanya dipilih kerana mahu fokus dengan barangan yang betul-betul berkonsepkan simple vintage Melayu. 

Malek juga mempunyai akses kepada galeri barang lama milik bapa mentua di Rawang, namun tetap memilih secara selektif agar dekorasi kekal minimal dan tidak berlebihan.

Pemilihan dibuat berdasarkan kesesuaian barang dengan suasana yang ingin dibentuk iaitu ruang tenang dan kemas. Setiap perabot dipilih kerana bentuk, warna dan teksturnya yang serasi dengan konsep kedai serta masih praktikal untuk digunakan pelanggan. 

PIRING muzik dipilih kerana dianggap sebagai salah satu barang penting dalam konsep simple vintage Melayu.

Dengan cara itu, dekorasi kedai dibangunkan secara berfasa sehingga mencapai identiti visual yang autentik dan selaras dengan konsep keseluruhan Kedai Kopi Manis.

Mengulas berkenaan kos keseluruhan dekorasi, Malek menyatakan bahawa beberapa barangan lama yang dipilih sememangnya mahal. 

“Set sofa lama yang kebanyakan orang buang dahulu  kini berharga hampir RM3,000, manakala televisyen  sudah tak ada orang guna ini berharga hampir RM1,000. 

“Pelbagai lagi barangan antik yang menelan belanja kerana autentik dan sukar dicari. Keseluruhan kos untuk dekorasi kedai dianggarkan lebih kurang RM50,000,” katanya. 

Antara koleksi barangan antik yang dipilih untuk dekorasi kedai termasuk piring muzik yang dianggap sebagai barangan warisan. 

Hiasan dinding seperti tingkap kayu ukiran lama dan topi rotan yang tergantung ringkas pula menimbulkan nuansa kampung moden.

Tambah Malek, keseluruhan ruang menghadirkan rasa seperti berada di ruang tamu zaman dahulu yang dipulihara dengan penuh kasih. 

“Sasaran utama kami adalah orang tua, komuniti masjid dan pesara. Jadi, interior kedai bukan sekadar estetika tetapi untuk mewujudkan suasana selesa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN