PETALING JAYA – Bukan sahaja seri pengantin pasangan Erra Fazira dan Mohammad Ezwan menjadi sorotan ramai tetapi hantaran 24 keping dinar emas diterima Primadona Melayu itu dalam majlis perkahwinannya pagi tadi.
Berdasarkan perkongsian di TikTok harga sekeping dinar emas ketika ini adalah sekitar RM2,600.
Manakala, nilai bagi 24 keping dinar emas tersebut adalah kira-kira RM62,400.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji suami kepada Erra kerana tahu menilai dan menghargai wanita itu.
“Lain dari yang lain hantaran pokok dinar emas tu, tahniah kak Erra dan suami, moga kekal ikatan suami isteri hingga ke akhir hayat,”tulis @Mu_Zai_2020.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Leen Aris:Kan.
“Mahal kerana Erra ada “kelassnya tersendiri”,”ujarnya.
Terdahulu, Erra, 51, selamat mendirikan rumah tangga dengan pasangannya Mohamad Ezwan,44, kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Noordin dalam suasana penuh barakah di ruang acara Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang.-KOSMO! ONLINE.














