IPOH – Semua pihak termasuk golongan kenamaan (VIP), ahli politik dan pempengaruh perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menghadiri atau merasmikan sebarang program dan aktiviti di sekolah awam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, tiada pihak yang dikecualikan dan permohonan perlu dibuat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum dimuktamadkan.
“Tak kiralah siapa jika pertubuhan bukan kerajaan (NGO) nak masuk (sekolah) pun sama, Ahli Parlimen nak masuk pun sama. ‘Influencer’ (pempengaruh) nak masuk pun sama. (ini kerana) Supaya PPD dan JPN boleh mempertimbangkan bersama dengan input daripada pihak sekolah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sebarang aktiviti yang diadakan di sekolah perlu memanfaatkan para pelajar selain perlu mematuhi garis panduan sedia ada.
Media kelmarin melaporkan JPN Kedah menjalankan siasatan berhubung tindakan sebuah sekolah di negeri itu yang menjemput seorang pempengaruh untuk merasmikan majlis anugerah akademik baru-baru ini.- KOSMO! ONLINE














